nizar

IPOH – Pas tidak tersasar dari perjuangan asal, namun pertukaran mengenai penubuhan negara Islam kepada negara berkebajikan adalah keputusan Majlis Syura bukannya ditentukan sewenang-wenangnya.

Demikian kata Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin ketika mengulas kenyataan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang menyifatkan Pas tergelincir daripada perjuangan asal dan mahu parti itu kembali ke pangkal jalan bagi mengelak hilang sokongan rakyat.
“Saya melihat kenyataan Hasan Ali itu hanyalah bersifat peribadi berdasarkan gambaran yang beliau nampak sahaja,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Beliau turut akui Pas kini mempunyai ramai golongan profesional bukan saja di peringkat Pusat, malah di Perak sendiri.
Mengenai desas-desus yang mengaitkan Hasan dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa akan meninggalkan Pas, Mohammad Nizar berkata, beliau yakin kedua-duanya tidak akan sampai ke tahap itu kerana mereka merupakan individu berpegang pada prinsip yang teguh.
Menurutnya, bila ahli Pas dikaitkan dengan Umno, sebenarnya itu adalah perkara biasa dalam politik kerana kebanyakan yang menyebarkan cerita berkenaan adalah dari kalangan mereka yang berkepentingan.
“Soal mereka berdua kecewa dengan Pas, saya rasa tidak timbul langsung kerana mereka adalah orang lama yang lebih arif dalam selok-belok perjalanan parti dan politik.
“Ini semuanya adalah propaganda atau ombak yang sengaja dimainkan untuk menarik perhatian pelbagai pihak, tambah-tambah lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13,” tegasnya.