JOHOR BAHRU: “Tidak sangka rutin harian saya dan isteri memberi Eryshah susu pada jam 6 pagi kelmarin menjadi yang terakhir apabila isteri menyedari anak kami sudah tidak bernyawa,” kata Erywan Yaacob, 32, bapa bayi merdeka yang dilahirkan dengan otak berada di luar tempurung kepala, semalam.
Menurut Erywan, masih terngiang tangisan anaknya itu setiap kali kelaparan atau mengalami masalah kesihatan.
“Air mata pasti menitis setiap kali teringatkan Eryshah, pelbagai usaha kami lakukan untuk menyelamatkannya.
“Ketika kejadian, saya dan isteri baru selesai mengerjakan solat Subuh dan kami pergi ke katilnya untuk memberikan Eryshah susu.
“Bagaimanapun, kami terkejut mendapati Eryshah berusia hampir empat bulan tidak lagi bergerak,” katanya.
Menurut Erywan, bimbang dengan keadaan bayinya itu, dia dan isteri, Noraishah Alaby, 32, bergegas menghantar Eryshah ke hospital sebelum doktor mengesahkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.
Katanya, Eryshah mengalami masalah kesihatan seminggu sebelum itu namun kesihatannya beransur pulih dua hari sebelum pemergiannya.
“Saya dan isteri menganggap pemergian Eryshah sebagai ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana dia sempat hidup bersama kami sepanjang hampir empat bulan ini.
“Sepanjang hayatnya, Eryshah adalah bayi yang kuat dan mudah dijaga selain tidak banyak ragam walaupun dia menanggung kesakitan yang kita sendiri tidak dapat bayangkan,” katanya.
Jenazah Eryshah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gelang Patah dan dia sekeluarga mengucapkan terima kasih di atas doa dan bantuan dihulurkan orang ramai sepanjang hayat anaknya itu.
“Syukur, sejak berita kelahiran Eryshah disiarkan Harian Metro, kami sekeluarga tidak pernah putus menerima bantuan selain pelbagai nasihat dan saranan untuk kesihatannya.
“Kami tidak pernah berputus asa dalam mencari rawatan dan kaedah terbaik yang mampu menyelamatkan Eryshah seperti mendapatkan rawatan doktor pakar selain pelbagai kaedah tradisional,” katanya.
Pada 12 September lalu, muka depan Harian Metro melaporkan, Eryshah disahkan doktor hanya menunggu masa untuk pergi buat selama-lamanya kerana keadaannya itu.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment