Tuesday, December 20, 2011

Hendaklah Tuhan di tiap tabir ilmu

Alangkah baiknya jika kita memiliki bandar seperti Oxford ini. Sebuah Bandar yang penuh dengan pusat-pusat pengajian. Hampir setiap manusia yang bergerak di bandar ini mempunyai kaitan dengan pengajian.

Pelbagai tajuk yang pelik dan aneh dikaji. BBC Oxford juga ada kelainannya. Isu-isu yang dibincangkan sesuai dengan taraf keilmuan di bandar ini.

Seminar itu dan ini begitu banyak dalam pelbagai cabang ilmu pengetahuan. Hampir semuanya percuma. Mereka biasanya tidak memperuntukkan tempat yang canggih dan anggun untuk berseminar. Cukup dengan satu ruang dalam pepustakaan ataupun selainnya yang boleh memuatkan beberapa puluh orang.

Kebanyakannya tiada pembesar suara. Hanya kerusi, meja dan pembicara. Sebahagian seminar hanya beberapa belas orang. Ia tetap berlangsung dengan penuh diskusi pengetahuan. Saya sendiri cuba hadir dalam banyak seminar setiap minggu, samada yang ada kaitan secara langsung atau tidak langsung dengan bidang saya.

Beberapa seminar di School of Anthropology umpamanya memberikan saya pengetahuan baru di luar bidang. Semalam di Muslim-Christian Studies, ada pembentangan oleh Martin Whittingham, seorang Kristian dengan tajuk: Ezra as the Corrupter of the Old Testament Text? Ibn Hazm and the Long History of an idea.

Seorang Kristian yang memperkatakan tentang idea al-Imam Ibn Hazm. Ya, banyak yang boleh dimanfaatkan jika kita ingin mencari pengetahuan di sini. Jika kita buru pengetahuan memang hidup akan sibuk. Sehingga saya kadang-kala terfikir untuk berhenti menulis setiap minggu yang sentiasa menekan waktu saya sejak hampir lima tahun lalu.

Dahulu ketika di Mingguan Malaysia, deadline saya pada hari sabtu amat mendesak. Sekarang di Sinar Harian deadline saya pada hari khamis untuk edisi Jumaat. Waktu Malaysia pula awal lapan jam dari UK.

Namun, oleh kerana tulisan menghubungkan saya dengan ramai manusia, di akhbar dan internet maka saya teruskan. Dengan harapan ada kebaikan yang mendatangkan pahala di sebalik setiap artikel yang dikeluarkan.

Ilmu untuk apa?

Di sebalik kesibukan manusia memburu ilmu di bandar seperti Cambridge dan Oxford ini, saya tertanya ke manakah ilmu pengetahuan yang penuh sarat ini akan membawa manusia? Apakah tujuan ilmu? Apakah ilmu untuk ilmu, atau ilmu hanya jambatan kepada satu tujuan lain yang lebih murni.

Apakah cukup seorang insan memegang gelaran ilmu kemudian hidup dalam lingkungan sendiri tanpa menjadikan pengetahuannya memberikan sumbangan kepada pembangunan insan? Lebih buruk lagi, apabila apa yang dianggap ‘ilmu' itu menyumbang kepada kemusnahan kehidupan manusia.

Sebelum saya pergi lebih jauh, saya teringat hari pertama saya sampai di bilik penginapan, saya bertanya arah kiblat kepada jiran bilik saya yang juga seorang ilmuwan muslim. Beliau berkata beliau tidak tahu. Saya terdiam dan berfikir apakah peranan ilmu dalam kehidupan seorang individu Muslim?

Apakah makna bagi sebuah perbahasan agama yang kononnya mencapai ketinggian falsafah sehingga ke langit tinggi jika pembahasnya gagal untuk meletakkan dahi ke bumi untuk sujud kepada Tuhan Maha Tinggi? Ilmu itu ada ruh dan tuntutannya.

Kita tidak menafikan betapa malunya dunia Islam yang ketinggalan dalam pembangunan ilmu. Sedangkan dahulu, dunia Islam telah ke hadapan dalam hal ini. Museum History Science di Oxford yang bersebelahan dengan tempat tinggal saya ini, mengiktiraf sumbangan dunia Islam terhadap perkembangan sains serta mengakui bahawa Barat mengambil manfaat dari kaum Muslimin.

Barat yang pada mulanya mengambil ilmu dari dunia Muslim lalu mengembangkannya sehingga mereka maju ke hadapan dalam pelbagai bidang kehidupan. Kita pula ketinggalan, bahkan ramai yang hidup dalam kejumudan. Ada memusuhi ilmu pengetahuan dengan menganggap pengajian selain ilmu-ilmu langsung berkaitan agama hanyalah sia-sia.

Bahkan ada yang melarang menuntut ilmu dengan orang kafir atau di ‘negara kafir'. Golongan literalist ini melupai bahawa sebahagian kemudahan beragama adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang.

Perkara asas dalam kehidupan seperti jam untuk solat, kompas untuk arah kiblat, kenderaan untuk ke Mekah, pembesar suara, mesin cetak, internet dan pelbagai lagi yang membolehkan Islam tersebar adalah hasil sumbangan ilmu dalam pelbagai bidang yang secara zahirnya tidak kelihatan berkaitan agama. Namun, ramai manusia kembali kepada Tuhan hasil perantaraan ilmu dari bidang yang lain.

Permasalahan utama para penuntut ilmu di Barat ataupun Timur adalah mereka gagal menghubungkan ilmu pengetahuan dengan Tuhan semesta alam. Apabila mereka terlupa, ataupun syaitan melupakan mereka bahawa segala falsafah dan penemuan dalam pembukaan ilmu hanyalah usaha menemui rahsia ciptaan Tuhan di alam maya ini.

Umpamanya, kehairanan saintis tentang ‘black holes' yang akan menelan kehidupan maya pada ini, tidak dapat dirungkaikan tanpa menyelak lembaran-lembaran tentang kiamat dan kehidupan baru selepas kemusnahan alam.

Islam tidak pernah memusuhi ilmu. Walaupun ada pandangan-pandangan jumud seperti konservatif agama dahulu di Indonesia dan Malaya yang menentang Kiyai Ahmad Dahlan dan ‘Kaum Muda', atau golongan literalis hari ini yang menentang pengajian falsafah, namun sejarah umat Islam tidaklah seburuk Kristian yang membakar hidup ribuan ilmuan dalam rekod sejarah mereka.

Dalam dunia Islam, walaupun ada kezaliman disebabkan aliran mazhab dan school of thought yang berbeza, tetapi ruang ilmu tetap luas. Al-Ghazali, Ibn Rusyd, Ibn Taimiyyah dan selain mereka yang berbahas tentang falsafah Greek dan Yunan secara pro dan kontra, kesemua mereka mendalami ilmu tersebut secara masak dan dalam.

Mereka bukan terus mengharamkan tanpa berkenalan. Dalam apa sahaja bidang, tidak sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui (maksudnya):

"Katakanlah: apakah sama orang yang mengetahui dengan yang tidak mengetahui?" (Al-Zumar: 9)

Tuntutan ilmu

Apa yang Islam tuntut agar ilmu sentiasa dikaitkan dengan kebesaran Allah, Tuhan pencipta alam. Allah itu di sebalik segala ilmu pengetahuan. Apa yang manusia temui hanya cebisan dari penciptaan alam yang maha luas.

Samada penemuan dalam bentuk kebendaan ataupun pemikiran dan falsafah kehidupan, semuanya hanyalah debu dari ilmu Tuhan yang tiada tepiannya.

Inilah yang Allah nyatakan (maksudnya): "Tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sedikit" (Al-Isra: 85).

Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berjaya menghasilkan pelbagai kemajuan yang mengkagumkan. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia berbangga antara satu sama lain. Dengan ilmu yang sedikit itu juga manusia boleh menzalimi antara satu sama lain.

Namun, dengan ilmu yang sedikit itulah satu-satunya jalan untuk manusia mengenali Tuhan dan tunduk kepada-ya. Justeru, Allah mengajar manusia manusia sejak awal penurunan wahyu agar ilmu pengetahuan dibaca dengan nama-Nya Yang Maha Pemurah yang mengurniakan ilmu kepada insan.

Firman Allah (maksudnya): "Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (segalanya). Dia menciptakan insan dari ‘alaq. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah . Yang mengajar dengan pena. Dia mengajarkan insan apa yang tidak diketahuinya" (Al-‘Alaq :1-5).

Demikian sejak hari awal penurunan wahyu kepada Nabi SAW, asas ini telah dipasak. Tuhan itu berada di setiap tabir ilmu. Kesimpulan seorang pengkaji ilmu akan kembali kepada kebesaran Tuhan. Apa sahaja ilmu yang dikaji, Tuhan jua yang akan ditemuinya.

Jika dia berjaya atau gagal, dia hanya berjaya atau gagal membongkar rahsia ciptaan Tuhan. Namun dia tetap akur, segala ilmu hakiki berada di sisi Tuhan. Apa yang ditemui, hanya debuan dari kebesaranNya. Maka ilmu akan membawa insan mengenali Ilahi. Mengenali Tuhan menerusi ilmu membawa kepada cinta yang hakiki. Cinta itu pula membawa kepada kebahagiaan nurani.

Ilmuan yang berpaksikan Tuhan sentiasa akan menyimpulkan jawapan akhir bagi segala pencarian iaitu "Hanyalah Allah Yang Mengetahui hakikat setiap perkara".

Apa yang manusia bahas dan bincangkan hanyalah zahir ilmu, batinnya tetap dalam pengetahuan Tuhan. Benar dan salah, hanya tafsiran dan takwilan fakta dan nas; hakikatnya Tuhan jua yang mengetahui.

Manusia yang memburu ilmu dengan penuh kejujuran, menemui Tuhan di setiap penjuru ilmu. Firman Allah (maksudnya):

"Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan warnanya; dan di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur putih dan Merah, yang berlainan warnanya dan ada juga yang hitam legam.

"Dan demikian pula antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun" (Fatir: 27-28).

Ayat ini sering dijadikan dalil bahawa golongan ulama yang paling takutkan Allah. Lalu, ditonjol ulama yang berserban dan berjubah, atau ahli fekah, lebai atau ustaz sebagai golongan yang takutkan Allah.

Namun, jika kita perhatikan ayat ini ia membicarakan tentang mereka yang memerhati kejadian alam dengan segala keajaiban, selepas itulah diikuti dengan penegasan "yang takutkan Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orang yang berilmu (ulama)".
Jika berserban dan jubah tanpa meneroka rahsia alam, atau menelaah penemuan keajaiban ciptaan Tuhan tidak akan menimbulkan rasa kegerunan. Maka, tidak salah untuk kita katakan bahawa saintis itulah yang paling dimaksudkan mereka yang takutkan Allah.

Saintis itulah ulama dalam konteks ayat ini. Sesiapa mengkaji alam dalam segala bidang kebendaan dan pemikiran, merekalah ulama dalam bidang mereka. Adapun yang mendaftarkan diri dalam persatuan ulama, atau badan ulama belum tentu terangkum dalam ayat ini.

Apapun, dalam apa pengetahuan perasaan itu tidak akan hadir, jika ilmu dibaca secara berasingan dari nama Tuhan. Hendaklah Tuhan berada di setiap tabir ilmu.


Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin merupakan bekas mufti Perlis dan felo pelawat di Universiti Oxford, United Kingdom.Hendaklah Tuhan di tiap tabir ilmu:

No comments:

Post a Comment