Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPP Malaysia) percaya rakyat Malaysia tidak boleh menerima jika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terus berbohong buat kesekian kalinya.
Justeru, DPP Malaysia memandang berat dakwaan bahawa Malaysia pernah meminjam dari Bank Dunia pada tahun 1997/1998 ketika di bawah pemerintahan Tun Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu.
“Dakwaan ini berdasarkan kepada dokumen lengkap yang dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) iaitu tiga dokumen rasmi Bank Dunia berhubung salah satu dari empat pinjaman berjumlah US$704 juta oleh kerajaan Malaysia,” ujar Ketua Penerangan DPP Malaysia, Riduan Mohd Nor kepada harakahdaily.
Katanya, ketiga-tiga dokumen yang didedahkan mendakwa pinjaman sebanyak US$60 juta telah dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap Bank Dunia.
Tambahnya, jika pinjaman itu benar-benar berlaku, DPP Malaysia dan seluruh rakyat Malaysia merasa kesal kerana bekas Perdana Menteri itu tidak pernah mengaku pernah membuat pinjaman dengan Bank Dunia sebelum ini.
Malah, ujarnya sehingga kini Mahathir membuat penafian dengan cabaran agar pihak menuduhnya mengemukakan bukti beliau ada membuat pinjaman.
“Namun dengan dokumen yang lengkap dari Bank Dunia yang dikemukakan, apakah dalih lagi Tun Dr Mahathir mahu menafikan segala maklumat tersebut?” tanya Riduan.
Beliau berkata, rakyat di negara ini merasa tidak selesa kerana jumlah pinjaman yang didakwa itu terlalu besar, iaitu sebanyak US$60 juta.
Menurutnya lagi, meskipun perisitiwa itu berlangsung sudah 13 tahun lamanya, namun kesannya masih ada terhadap kedudukan ekonomi dan kewangan negara.
Persoalannya, kata beliau ke manakah duit hasil pinjaman tersebut digunakan dan mengapakah kerajaan Malaysia ketika itu terlalu terdesak sehingga terpaksa meminjam dari Bank Dunia sedangkan diketahui bahawa ada kesan negatif terhadap keselamatan dan kestabilan negara hasil dari perjanjian tersebut.
“Apakah langkah yang telah diambil oleh kerajaan dalam memastikan pinjaman itu dibayar sepenuhnya?” soalnya lagi.
Oleh itu, tegasnya DPP Malaysia mendesak Tun Dr Mahathir membuat penjelasan dan pengakuan sejujurnya berhubung dakwaan itu.
“Sekiranya benar pinjaman itu berlaku, beliau perlu menjelaskan satu persatu kemanakah duit itu digunakan, langkah kerajaan dalam membayar balik pinjaman tersebut dan apakah terma perjanjian antara Bank Dunia dengan kerajaan Malaysia.
“Jangan sampai penafian beliau boleh menghilangkan penghormatan rakyat terhadap beliau seperti yang beliau nikmati selama ini,” ujarnya.
Pinjaman: Mahathir wajar buat pengakuan terbuka:
No comments:
Post a Comment