Tuesday, December 20, 2011

Keputusan kes khalwat Salim, pasangan 9 Jan.

 PULAU PINANG 19 Dis. - Mahkamah Rendah Syariah di sini menangguhkan keputusan kes khalwat Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan dengan bekas pembantu peribadinya di sebuah hotel di Batu Feringghi, April lalu.

Hakim Syarie, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahaya menetapkan tarikh 9 Januari depan untuk perbicaraan kes itu setelah dimaklumkan Pendakwa Syarie, Khairil Hafiz Nazari bahawa Salim tidak hadir ke mahkamah hari ini untuk mendengar keputusan kes khalwat itu kerana mempunyai urusan keluarga.

Bagaimanapun, pasangannya, Nur Diayana Norslan, 30, yang memakai jubah hitam dan bertudung warna sama hadir ke mahkamah sejak pukul 8.30 pagi lagi dengan ditemani dua ahli keluarganya yang turut memakai pakaian serupa.

''Mahkamah bersedia untuk menjatuhkan hukuman hari ini. Namun, mahkamah berpendapat kedua-dua tertuduh patut hadir bersama ketika hukuman ini dijatuhkan dan ia perlu dilakukan secara serentak kepada mereka berdua demi keadilan dan mengelakkan prejudis.

''Justeru, mahkamah menetapkan tarikh lain iaitu 9 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman kepada kedua-dua tertuduh,'' kata Nik Bukhari Hashimy.

Ketika dihadapkan pertama kali ke mahkamah pada 19 April lalu, Salim, 51, dan Nur Diayana, masing-masing mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut, namun pada 21 November lepas, kedua-duanya yang tidak diwakili peguam syarie menukar pengakuan kepada bersalah.

Mengikut pertuduhan, pasangan tersebut yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 5 pagi, 16 April lalu di bilik bernombor 224 di sebuah hotel di Batu Feringghi di sini.

Salim yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didakwa mengikut Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana didakwa di bawah Seksyen 27(b) enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, setiap tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Sebaik sahaja prosiding selesai, Nur Diayana bersama kedua-dua saudaranya itu berlari ke arah sebuah kereta Perodua Myvi hitam yang telah menunggunya di luar mahkamah.
-utusan

No comments:

Post a Comment