Tuesday, December 20, 2011

PAS perlukan khidmat Nasharudin, Hassan



Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my
2011/12/20

Harun Taib
Harun Taib
Spekulasi dua YB akan digugur mengarut 

KUALA TERENGGANU: PAS masih memerlukan khidmat bekas timbalan presiden parti itu, Nasharudin Mat Isa dan EXCO Kerajaan Selangor, Datuk Dr Hassan Ali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) untuk meneruskan agenda parti.
Serentak itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib menyifatkan spekulasi pengguguran kedua wakil rakyat berkenaan datang dari golongan bukan ahli PAS sejati, dan tidak perlu dipercayai kerana isu calon masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.
Sambil menjelaskan PAS tidak memandang kenyataan Nasharudin dalam satu temu bual eksklusif dengan Berita Minggu Ahad lalu sebagai suara kecewa dan rajuk terhadap PAS, Harun berkata, PAS menerima ‘teguran’ Ahli Parlimen Bachok itu dan menyifatkan apa yang disuarakan sebagai tanda kesetiaan dan cinta beliau kepada parti. 

“Mereka yang buat spekulasi orang tertentu akan digugurkan itu bukan ahli PAS asli. Kita masih sangat memerlukan mereka (Nasharudin dan Hassan) dan mereka juga masih memerlukan PAS. Tidak perlu percaya dengan spekulasi itu kerana masih terlalu awal untuk parti memutuskan mengenai calon. 

“Kita juga tidak lihat kenyataan dia (Nasharudin) itu sebagai kecewa dan protes, tetapi bukti kecintaan dan kesetiaannya pada parti kerana menegur perkara yang membuatkan orang nampak PAS seperti sudah tersasar dari landasan perjuangan berbanding sebelum ini. 

“Apa yang dikatakannya adalah untuk peringatan kepada pemimpin PAS supaya PAS tidak terus dilihat tersasar dari asas perjuangannya,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. 
Harun berkata, PAS tidak pernah tersasar dari landasan perjuangannya sebagai pergerakan Islam, cuma PAS sekarang mengatur langkah dengan menempa pasaran baru, iaitu memperkenalkan perjuangan Islam kepada orang bukan Melayu dan Islam. 

“Itu hanya pandangan orang (PAS sudah tergelincir dari landasan perjuangan yang menggerakkan Islam) kerana dulu PAS hanya berjuang bersama orang Islam. Berbeza kini apabila PAS meneroka pasaran baru dan orang bukan Islam boleh terima perjuangan PAS. 

“Sebelum ini hanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) ambil kesempatan raih undi dari orang bukan Islam dan PAS hanya bergantung pada undi orang Melayu Islam. 
Tetapi pada PRU Ke-12, 2008, PAS dapat memenangi hati orang bukan Islam dan mereka terima prinsip kemasyarakatan dan kenegaraan yang dibawa PAS,” katanya. 

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz dalam laman sosial Facebooknya menyelar tindakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengkritik secara terbuka Hassan dan Nasharuddin yang disifatkannya sebagai pejuang Islam. 

“Saya turut menolak temuramah Setiausaha Agung PAS yang mengkritik dan menuduh secara terbuka dua pejuang Islam yang berkali-kali menyatakan kesetiaannya kepada PAS. Tunggulah dulu dua (pemimpin) itu masuk UMNO jika betul-betul hendak tunjuk hero menjaga PAS. 

“Jika tidak, ia hanya tuduhan yang memecahkan. Mengapa memperkecilkan kenyataan Saari Sungib yang memulakan isu sudah sedia membara (ibarat api) dalam sekam? Di mana beliau untuk tidak memohon maaf secara terbuka?,” katanya. 

No comments:

Post a Comment