Tuesday, December 20, 2011

Kim Jong-il meninggal dunia




Gambar dari laman web KCNA yang diterbitkan agensi berita Yonhap menunjukkan rakyat Korea Utara meratapi kematian Kim Jong-il di Pyongyang, semalam. (Gambar kecil) Kim Jong-il. - AFP


SEOUL 19 Dis. - Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il meninggal dunia kelmarin pada usia 69 tahun akibat serangan sakit jantung, sekali gus menjerumuskan negara bersenjata nuklear tetapi miskin ini ke dalam situasi tidak menentu.
Jong-il 'meninggal dunia akibat tekanan mental dan fizikal yang hebat' pada 8.30 pagi kelmarin (7.30 pagi waktu Malaysia) semasa menaiki kereta api untuk melakukan lawatan tinjauan 'ke lapangan', lapor agensi berita rasmi KCNA, hari ini.
KCNA menggesa rakyat supaya mentaati pewaris dan anak lelaki bongsu Jong-il, Kim Jong-un yang berusia lewat 20-an.
"Semua anggota parti, anggota tentera dan orang ramai hendaklah dengan taat setia mematuhi kepimpinan Kim Jong-un di samping melindungi dan mengukuhkan lagi perpaduan parti, tentera dan rakyat," menurut agensi tersebut.
Menurut KCNA, Jong-il meninggal dunia 'akibat serangan sakit jantung berpunca daripada saluran jantung tersumbat dan autopsi dijalankan semalam.
Jong-il mengalami serangan angin ahmar pada Ogos 2008 yang menjejaskan pergerakan tangan dan kaki kirinya.
Pyongyang mengumumkan tempoh berkabung di seluruh negara dari 17 hingga 29 Disember ini.
Kerajaan Korea Selatan meletakkan tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga berikutan berita mengejut itu dan mengadakan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, lapor agensi beritaYonhap.
Jong-il mengambil alih kuasa selepas bapanya yang juga pengasas negara ini, Presiden Kim Il-sung meninggal dunia pada 1994.
Pada pertengahan hingga lewat 1990-an, beliau menyaksikan ratusan ribu rakyatnya maut akibat kebuluran, dan masalah kekurangan makanan berterusan sehingga ke hari ini sehingga dianggarkan satu pertiga daripada kanak-kanak Korea Utara terbantut akibat kekurangan zat makanan.
Namun Jong-il masih menemui sumber untuk meneruskan program senjata nuklear yang berkesudahan dengan ujian letupan nuklear pada Oktober 2006 dan Mei 2009. - AFP
-utusan

No comments:

Post a Comment