Md Isa Sabu & Shahidan Kassim

KANGAR - Kerajaan Negeri mencatatkan RM413.4 juta dengan Kerajaan Pusat membabitkan kos projek perumahan, bekalan air, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) dan pelbagai kos lain sehingga kini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu (BN-Bintong) berkata, hutang Kerajaan Negeri itu membabitkan kos pembiayaan projek perumahan berjumlah RM73 juta, bekalan air (RM215 juta), PKEN (RM115 juta) dan pelbagai kos lain (RM10 juta).
Menurutnya, Kerajaan Negeri membayar hutang mengikut keupayaan kewangan dan sebanyak RM6.35 juta dibayar pada 2011 dan RM2.5 juta pada 2010 daripada tunggakan hutang berjumlah RM120 juta tidak termasuk faedah dan tunggakan bayaran pinjaman bekalan air.
“Pengurangan hutang Kerajaan Negeri berikutan penstrukturan semula bekalan air, Kerajaan Pusat hanya mengambil alih RM75 juta atau 36 peratus daripada RM210.1 juta nilai hutang untuk projek bekalan air Perlis,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Bajet 2012 Sidang Dun Perlis semalam.
Menyentuh isu sumbangan Yayasan Pok dan Kassim (YPK) untuk pembinaan masjid sebagaimana dibangkitkan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Tambun Tulang), Md Isa menegaskan jumlah sumbangan diterima daripada yayasan itu melalui JKR adalah sebanyak RM2.66 juta dan dimasukkan ke dalam Akaun Penyelesaian Utama.
Menurutnya, tujuan asal sumbangan itu bagi pembinaan Masjid Ammeer Fawwaz, Kuala Sungai baru dan setelah mengambil kira perbelanjaan masjid berjumlah RM1.639 juta, sumbangan masih berbaki RM1.02 juta.
“Dalam 2009, Jabatan Audit Negara membuat teguran bahawa Akaun Penyelesaian Utama sepatutnya tidak berbaki pada penghujung tahun.
“Satu akaun amanah khas iaitu Akaun Amanah Penyelenggaraan Masjid diwujudkan dan baki sumbangan RM1.02 juta dipindahkan ke akaun itu.
“Wang dalam akaun amanah ini hanya boleh digunakan bagi tujuan perbelanjaan untuk melaksanakan projek seperti disyaratkan penyumbang secara bertulis selain membiayai penyelenggaraan masjid seluruh Perlis,” katanya.
Md Isa berkata, berdasarkan arahan amanah, dalam tahun 2011 JKR menggunakan RM216,821.31 daripada baki akaun amanah itu untuk penyelenggaraan Masjid Alwi, Masjid Arau, Masjid Negeri Arau dan Masjid Putra.