Arina menunjukkan gelang yang merupakan hadiah terakhir arwah kepada anaknya
Arina menunjukkan gelang yang merupakan hadiah terakhir arwah kepada
anaknya
Allahyarham Roa Dol, 79 mangsa kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan
Allahyarham Roa Dol, 79 mangsa kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya
Utara Selatan
BATU PAHAT – “Jaga diri baik-baik, nenek dah nak pergi ni,” itulah pesanan terakhir Allahyarham Roa Dol, 79, kepada cucu kesayangannya, Puteri Nuraqilah Mohd Khutatu, 11 bulan, sebelum menghadiri Sambutan Ulang Tahun Umno ke-66 di Stadium Bukit Jalil kira-kira jam 9 pagi, semalam.

Namun malang tidak berbau, dalam perjalanan pulang daripada sambutan berkenaan, Roa terlibat dalam kemalangan di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson pada jam 2.58 dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Kemalangan tersebut yang membabitkan dua bas dan sebuah lori treler turut menyebabkan 77 lagi cedera.

Menantu Allahyarham Roa, Nurul Arina Mohd Yusof, 20, berkata, dia tidak menyangka itu adalah kata-kata terakhir untuk anaknya yang merupakan cucu bongsu mangsa.

Menurutnya, semenjak Puteri Nuraqilah atau nama manjanya Qila dilahirkan, arwah ibu mertuanya itu banyak menghabiskan masa bersama cucu kesayangannya itu.

“Saya sedih setiap kali mengenangkan arwah yang suka bermain dengan Qila.

“Bagaimanapun, ini ketentuan daripada ALLAH dan saya menerimanya dengan redha,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Parit Lubok Tengah, Semerah di sini.

Menurut Nurul Arina, dia turut berasa sebak kerana beberapa hari sebelum tragedi itu, Allahyarham ibu mertuanya sempat menghadiahkan seutas gelang tangan kepada Qila.

Katanya, paling menyedihkan apabila arwah sendiri yang memakaikan gelang emas berkenaan kepada cucunya.

“Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik sebelum mengikuti rombongan berkenaan.

“Malah sepatutnya hari ini kami sekeluarga merancang hendak buat kejutan kepada arwah dengan menyambut Hari Ibu di Johor Bahru iaitu di rumah salah seorang anaknya,” katanya yang tinggal serumah bersama Allahyarham Roa, suami dan anaknya, Qila.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lubok, kira-kira jam 3.45 petang tadi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad berkata, pemergian Roa adalah kehilangan besar buat Umno Bahagian Parit Sulong dan juga Cawangan Parit Lubok.

Katanya, Roa sememangnya aktif dalam Umno dan menjadi orang pertama hendak melibatkan diri apabila ada aktiviti atau program yang melibatkan parti.

“Malah beliau jugalah yang biasanya menjadi ketua kepada aktiviti-aktiviti terbabit, dan turut menjadi jawatankuasa dalam cawangan. Malah setiap kali Hari Raya Aidilfitri Allahyarham tidak pernah ketinggalan menjamu ahli Umno di kawasannya.

“Beliau juga boleh dijadikan contoh kepada ahli Umno yang lain terutamanya golongan muda, di mana usia bukannya penghalang untuk bergiat aktif,” katanya.