Friday, June 15, 2012

Harakah Islamiyah, sebuah gerakan pembebasan Palestin telah menganjurkan demonstrasi bagi menyokong rakyat Syria

Harakah Islamiyah, sebuah gerakan pembebasan Palestin telah menganjurkan demonstrasi bagi menyokong rakyat Syria dalam menuntut kemerdekaan negara itu semalam, 9 Jun 2012. Himpunan yang disertai ribuan rakyat Palestin itu diketuai oleh Syeikh Raid Solah, ketua gerakan tersebut yang terkenal kerana kelantangannya membela Masjid Al-Aqsa dan beberapa kali dipenjarakan oleh pihak berkuasa Israel. 

Sewaktu berucap kemudiannya, Syeikh Solah menyeru kepada umat Islam dan Arab supaya mengadakan himpunan jutaan di sempadan Syria. Kata beliau, "Revolusi Syria merupakan kesinambungan kebangkitan rakyat Palestin. Sesungguhnya, rakyat Palestin dan Syria hidup selama ini di bawah penguasaan penjajah yang zalim. 

Kebebasan Syria bermaksud kebebasan buat Palestin. Pembebasan Masjid Umawi bermaksud pembebasan buat Masjid Al-Aqsa."

Beliau kemudian menuju ucapan kepada pendukung revolusi rakyat di Syria:" Laungan kalian akan menjalar hingga ke Al-Quds."

Sementara itu, demonstrasi aman yang disertai oleh ribuan penduduk itu bermula dari pusat bandar Tumrah yang dipimpin oleh Syeikh Raid Solah, naibnya Syeikh Kamal Khatib dan Syeikh Hamad Abu Da'abas. Ia turut disertai oleh kanak-kanak, wanita dan warga emas sambil melaungkan "Berambus kamu wahai Basyar!" dan "Ucapan kami rakyat Palestin..Buat warga Syam yang terus bersabar."

Rakyat Palestin juga pada masa ini diuji dengan penindasan yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel khasnya di Semenanjung Gaza. Situasi politik mereka juga agak getir pada waktu ini khasnya cabaran bagi mewujudkan kerajaan perpaduan antara Hamas dan Fatah. Walaupun sibuk dengan urusan setempat namun semangat persaudaraan Islam tidak melalaikan mereka dari mengingati nasib saudara seagama mereka di Syria. Kita bagaimana?

Pautan video: http://www.youtube.com/watch?v=oZIYmHrYtok&feature=youtu.be

No comments:

Post a Comment