Usaha ganggu kontraktor
Husam Musa
KOTA BHARU - Belum pun pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai bermula, timbul dakwaan terdapat usaha pihak- pihak tertentu untuk menggagalkan pembinaannya.

Menjelaskan perkara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pembinaan Lebuh Raya itu masih mengikut jadual walaupun terdapat usaha untuk mengganggu kontraktor yang terlibat.

Malah katanya, pihaknya juga melantik lapan juru ukur baru yang terlibat dalam proses mengenal pasti laluan setelah juru ukur yang asal diganggu.

“Kontraktor yang dilantik masih lagi kuat dengan ikatan perjanjian walaupun pihak tertentu cuba untuk (hasut supaya) tidak terlibat, ini adalah satu dari cubaan tetapi semuanya masih mengikut jadual,” katanya selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, semalam.

Lebuh raya sepanjang 73 kilometer itu bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas, dijangka siap dalam tempoh tiga tahun. Lebuh raya tanpa tol, dengan empat lorong (dua lorong sehala) itu turut dilengkapi dengan kawasan rehat dan rawat (R&R).

Husam yang juga Naib Presiden Pas berkata, beliau terkejut apabila mendapati konsep wakaf yang diperkenalkan mendapat sambutan baik bukan sahaja dari segi kewangan malah perkhidmatan.

Mengulas mengenai kritikan sinis pihak tertentu yang meragui usaha pembinaan tersebut, Husam berkata, beliau tidak akan memberi banyak reaksi sebaliknya menunjukkan usaha itu melalui tindakan.

“Saya tak akan jawab lisan sebaliknya melalui tindakan, kita sudah lantik kontraktor dan mempunyai perjanjian serta struktur kewangan, bagi kita empat bulan pun dah nampak kemajuan,” katanya.

Bagi tujuan yang sama, Husam dalam nada sinis berkata, pihaknya akan melelong perkakasan pembinaan yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri oleh peserta perhimpunan sebuah pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) minggu lalu.

Menjawab kritikan mengenai terdapat kontraktor yang terlibat dalam pembinaan mempunyai kaitan dengan syarikat Genting, Husam berkata, mereka yang membuat dakwaan itu terlebih dahulu perlu menyelidik kenapa Kerajaan Pusat tidak membina sedangkan ia tanggungjawab mereka.