Wednesday, July 4, 2012

Anak dakwa pelabur jual semula saham FGVH



Anis Nazri,
04 Jul 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa terdapat pemegang saham bertindak menjual semula saham mereka di Felda Global Ventures Holdings (FGVH) seleps dua hari ia disenaraikan.

Presidennya, Mazlan Aliman (gambar) berkata pihaknya dimaklumkan terdapat pelabur yang menjual semula saham mereka dalam FGVH selepas dinasihatkan pihak 'remisier' (agen saham) sendiri.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan tahap ketidakyakinan mereka kepada kedudukan FGVH biarpun tidak sampai dua minggu ia disenaraikan.

"Dalam urusniaga saham ini, mana-mana orang yang membeli saham jarang mahu menjual saham ketika masih di awal penyenaraian. Dan mereka juga hanya akan membeli saham syarikat yang benar-benar mantap. Jadi perkara ini (jual semula) menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap FGVH," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Selain itu, tambah Mazlan, pihaknya juga dimaklumkan sebanyak 20 peratus saham yang diperuntukkan kepada mana-mana pihak yang berminat masih tidak dapat dipenuhi.

Malah, dakwa beliau kerajaan juga dikatakan melarang mana-mana syarikat yang membeli saham FGVH itu menjual saham mereka dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian.

Larangan tersebut difahamkan bagi memastikan kedudukan saham FGVH berada dalam keadaan stabil sepanjang enam bulan ini.

Atas sebab-sebab dan risiko sedemikianlah, Mazlan berkata Anak dari awal menentang penyenaraian FGVH yang berorientasikan perkhidmatan ini ke Bursa Kuala Lumpur.

Namun, segala yang diusahakan Anak tidak diberi perhatian oleh kerajaan biarpun telah menggunakan pelbagai saluran untuk mencari titik perbincangan.

Mazlan, bagaimanapun berkata masih tidak terlambat bagi kerajaan untuk membatalkan penyenaraian bagi memastikan nasib peneroka yang dipertaruhkan masih boleh diselamatkan.

No comments:

Post a Comment