Wednesday, July 4, 2012

Himpunan Oren: Penganjur pohon kerjasama polis

Himpunan Oren: Penganjur pohon kerjasama polis:

KUALA LUMPUR:
 Gerakan Selamatkan Felda (GSF) hari ini memaklumkan kepada pihak polis mengenai Himpunan Oren Selamatkan Felda yang akan diadakan pada 14 Julai ini.

Makluman itu dibuat melalui surat yang diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengah hari tadi.

Antara kandungan surat itu, meminta pihak polis memberikan kerjasama penuh menjaga keselamatan peserta sepanjang himpunan berlangsung.

Himpunan bagi membantah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) ke Bursa Malaysia itu akan bermula pada jam dua petang di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta.

Peserta akan berarak kira-kira 3.7 kilometer dari masjid ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong, memohon campur tangan baginda dalam isu ini.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan surat tersebut, koordinator GSF, Mazlan Aliman berkata, pihaknya sudah melaksanakan tanggungjawab memaklumkan mengenai himpunan tersebut kepada pihak polis dan menunggu maklum balas mereka.

"Hari ini kami bagi surat rasmi kepada pihak polis dan kami harap polis dapat beri kerjasamalah. kami tekankan, himpunan ini himpunan aman.

"Mengikut Rang Undang-undang Perhimpunan Aman, kita tak perlu minta permit tapi kena maklumkan sekurang-kurangnya sepuluh hari dari tarikh himpunan," kata beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak).

Bagaimanapun katanya, himpunan akan tetap diteruskan secara aman jika pihak polis tidak memberikan kebenaran.

"Alternatif lain, kami akan bagitahu kemudian tapi setakat ini kami positif polis akan benarkan sebab kami dah maklumkan awal," katanya.

Tambahnya, lebih seratus badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai himpunan tersebut kerana isu penyenaraian FGVH merupakan isu nasional, bukan terikat kepada warga Felda sahaja.

"Kami yakin himpunan ini dapat mengumpulkan 20,000 orang kerana isu ini isu nasional, kepentingan nagara jadi semua orang boleh turut serta," katanya lagi.

GSF juga akan menyerahkan surat jemputan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam hari ini.

Sebelum ini surat jemputan diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, veteran Umno Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah, anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Ghafar Baba, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Ali.

No comments:

Post a Comment