Johor Bahru: “Saya berharap semua pihak tidak putus asa membantu membawa keluar Zana dari Indonesia. Saya merayu agar keluarga angkatnya menyerahkan kembali anak saya,” rayu bapa Siti Norzana, Nordi Adi.
Nordi, 57, bersyukur tiga anaknya yang lain, Nurul Safiza Fitri, 11; Muhammad Nurhan, 9 dan Nur Masyita Amiera, 8, berjaya dibawa pulang akhir bulan lalu, tetapi pada masa sama bimbangkan keadaan Siti Norzana yang terus terperangkap di Lampung. Bapa harap misi berjaya
Beliau berharap dan berdoa semoga usaha Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO dan BH yang berada di negara itu dalam misi menyelamatkan kanak-kanak terbabit akan beroleh kejayaan dengan kerja-sama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
“Saya berharap Zana dapat balik ke Malaysia. Saya menaruh keyakinan tinggi terhadap usaha mereka. Malah, tiga anak saya yang lain juga amat rindukan kakak mereka.
“Saya kasihan dengan Zana dan bimbang keselamatannya yang mungkin dilayan buruk selain terpaksa menjadi orang suruhan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam, selepas rundingan pasukan misi dengan keluarga angkat Siti Norzana di Mesuji, Indonesia, kelmarin, menemui jalan buntu.
BH semalam melaporkan usaha itu gagal selepas lelaki mendakwa bapa angkat Siti Norzana, enggan membenarkannya pulang ke Malaysia.
Sementara itu, Nurul Safiza berkata, beliau bermimpi menemui kakaknya yang pulang ke rumah mereka di Taman Kempas dekat sini dan berharap ia akan menjadi kenyataan.
“Semalam (Isnin) saya bermimpi kakak pulang ke rumah ini. Saya berharap ia menjadi kenyataan dan kakak dapat pulang semula,” katanya.
No comments:
Post a Comment