KUALA KRAI - Selepas ditinggalkan suami tanpa sebarang berita sejak lebih 15 tahun lalu, seorang ibu tunggal di Chenulang, dekat sini, bergantung kepada hasil menoreh untuk menyara hidupnya dan empat orang anak.
Dengan pendapatan sekadar cukup untuk belanja seharian termasuk persekolahan anak, ibu tunggal terbabit, Timah Salleh, 57, bernasib baik, kerana ada rumah pusaka peninggalan ibunya untuk didiami.
Namun, rumah berusia lebih 30 tahun yang kini didiami Timah bersama empat anak dan enam cucu perlu dibaik pulih, kerana keadaannya sudah terlalu usang.
Timah berkata, dia tidak mampu baiki rumah itu, kerana hasil pendapatannya dan anak hanya cukup untuk tampung kos sara hidup mereka sekeluarga.
“Sekarang saya tidak ada pendapatan kerana kebun getah yang makcik toreh masuk program tanam semula,” katanya ketika menerima kunjungan Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, Azizzuddin Hussein.
Lawatan bagi meninjau keadaan rumah penduduk miskin di sekitar Chenulang itu turut disertai Bendahari Umno Dun Mengkebang, Noor Yakin Che Ahmad dan Pemaju Masyarakat Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Fauziah Mahmood.
Sementara itu, Azizzuddin menyarankan keluarga berkenaan memohon bantuan bina rumah baru di bawah program Rumah Mesra Rakyat (RMR) yang dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).
“Buat sementara waktu, saya akan bantu keluarga ini baiki bumbung. Bila mohon RMR nanti, saya akan cuba ikhtiar bantu pula,” katanya.
No comments:
Post a Comment