PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menasihati Rohaya yang berkahwin tanpa sijil nikah membuat pendaftaran lewat kelahiran bagi dua anaknya yang tiada dokumen kelahiran.
Pegawai Perhubungan Awam JPN, Jainisah Mohd Noor berkata, sekiranya usia anaknya sudah melebihi 12 tahun, dia diminta terus membuat permohonan lewat kad pengenalan.
“Bagi permohonan lewat kelahiran, kita meminta si ibu melampirkan bukti anak dilahirkan di sini, selain rekod perubatan dari hospital tempat anak itu dilahirkan serta dua saksi.
“Kita juga meminta sijil nikah tapi jika tiada, anak akan mengguna bin atau binti Abdullah atau asmaulhusna lain walaupun bapa masih ada lagi,” katanya.
Bagi kes membabitkan wanita Filipina dengan lelaki Singapura iaitu Siti, katanya, JPN hanya akan memberi status penduduk tetap (PR) kepada warga asing mengikut syarat dan peraturan ditetapkan.
“Si ibu dikatakan sudah mempunyai status PR, manakala tiga anaknya tiada pengenalan diri.
“JPN akan memberi PR kepada penduduk asing berdasarkan dokumen ketika memasuki negara,” katanya.
Malah, pemberian status PR perlu mengikuti prosedur termasuk mendaftar dengan kedutaan masing-masing.
Katanya, jika seseorang itu lahir di negara selepas ibu mendapat status PR, anak akan mendapat kad pengenalan biru.
“Bagaimanapun, jika anak dilahirkan sebelum dia mendapat status PR, si anak tetap warga asing.
“Jika anaknya lahir di Malaysia, mereka boleh mendaftar sijil kelahiran,” katanya.
Bagi kes Jue, katanya, ia perlu diselidik secara terperinci bagi mengelakkan sebarang penipuan kerana ada banyak kes warga asing mengaku orang Sabah.
“Banyak kes warga asing mengaku orang Sabah. Jika dia memang orang Sabah secara automatik dia mendapat kad pengenalan Malaysia. Sebenarnya, pihak berkuasa tidak sewenang-wenang membenarkannya memasuki Semenanjung. Sekurang-kurangnya dia perlu menunjukkan sijil kelahiran,” katanya.
Mengenai anaknya, Jainisah berkata, kelahiran anak wajib didaftarkan jika dilahirkan di Malaysia.
No comments:
Post a Comment