Sunday, September 9, 2012

Jenazah 2 pelajar maut di Rusia selamat dikebumi




DIMYATI MOHAMAD menyiram air mawar di pusara anaknya, Adzreen sambil diperhatikan oleh ahli keluarganya di Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Jenazah pelajar Malaysia, Adzreen Dimyati, 22, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Vladimirskaya, Rusia pada Isnin lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini semalam.
Jenazah pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.45 malam kelmarin menerusi pesawat Emirates Airlines dari Dubai.
Jenazah kemudian dibawa ke Surau Al-Iman Presint 9 untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan kira-kira pukul 1.40 pagi semalam.
Ibu saudara mangsa, Datuk Rabeahtul A. Abbas yang mewakili keluarga mangsa menyampaikan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang terlibat mengendalikan urusan membawa pulang jenazah.
"Maaf, ibu bapa arwah belum bersedia untuk bertemu media kerana mereka masih terkejut dengan kejadian itu," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 3 pagi Isnin lalu (11 malam Ahad waktu Rusia), Adzreen bersama enam lagi pelajar Malaysia dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Moscow ke kampus mereka di Akademi Perubatan Negeri Nizhny Novgorod.
Malangnya, bas yang mereka naiki terbabit dengan kemalangan di wilayah Vladimirskaya, 120 kilometer dari wilayah Nizhny ekoran kegagalan pemandu mengawal kenderaan kerana dipercayai terlelap.
Adzreen meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital manakala seorang lagi mangsa, Hanisah Muhd. Shah, 22, yang merupakan pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat maut di tempat kejadian.

No comments:

Post a Comment