POKOK SENA: Satu pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan pelajar yang menunjukkan punggung ke atas gambar pemimpin negara itu, Muhammad Ammar A Rahman, 19, pada malam Ambang Merdeka, baru-baru ini, bakal diadakan dengan disertai ahli keluarganya.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail berkata, setakat ini, masa dan tempat bagi pertemuan berkenaan belum dapat diputuskan Jabatan Perdana Menteri berikutan perlu melihat kepada kelapangan Perdana Menteri.
Menurutnya, Najib sebelum ini sudah menyatakan kesediaan untuk memaafkan dan berjumpa Ammar dan bapanya, tetapi belum menentukan tarikhnya kerana sibuk dengan urusan rasmi negara.
“Sekarang ini pun beliau berada di Russia bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) untuk membincangkan isu dua hala.
“Bagaimanapun, seperti yang pernah dikatakan Perdana Menteri sebelum ini, kesalahan tetap kesalahan dan kita tidak boleh berkompromi dalam proses undang-undang, “ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Jamuan Hari Raya anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Pokok Sena, di sini, semalam.
Shahlan berkata, masyarakat seharusnya mengambil iktibar terhadap kejadian itu dengan tidak melakukan sesuatu tindakan semborono tanpa memikirkan kesannya pada diri sendiri. “Masyarakat di negara ini harus lebih sensitif terhadap perkara yang menyalahi etika dan undang-undang serta berfikiran matang, “ katanya.
Terdahulu, Ammar ditahan polis di Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa lalu selepas menyerah diri di kolejnya sejurus tiba bersama ibu bapanya dari kampungnya di Batu Pahat, Johor.
Berikutan itu, bapa remaja terbabit A Rahman Abdullah, 53, melalui media, semalam menyatakan hasratnya untuk bertemu Najib bagi meminta maaf secara peribadi.
Ammar juga menyatakan permohonan maafnya kepada Perdana Menteri dan rakyat Malaysia serta ingin bertemu Najib untuk menyatakan kekesalan itu.
No comments:
Post a Comment