Saturday, September 29, 2012

Iran yakin mampu bertahan

NEW YORK: Iran semalam berikrar akan bertindak balas terhadap sebarang serangan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyeru supaya satu “garisan merah” ditetapkan bagi menghalang republik Islam itu memiliki bom nuklear.

Menafikan sebarang program nuklear untuk tentera, Timbalan Duta Iran di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, negaranya “cukup kuat untuk mempertahankan diri dan berhak sepenuhnya untuk bertindak balas secara maksimum terhadap sebarang serangan.” Menurut Eshagh al-Habib, Israel adalah “regim yang berasaskan keganasan dan sebenarnya menjadi pengasas kepada negara pengganas di dunia.” Eshagh turut mendakwa Netanyahu membuat tuduhan tidak berasas terhadap Iran ketika berucap di Perhimpunan Agung PBB semalam. Ketika berucap, Netanyahu mendesak PBB menetapkan “garisan merah” bagi “program senjata nuklear Iran.” “Garis merah yang jelas mesti dibuat ke atas program pengayaan nuklear Iran kerana kemudahan itu adalah satu-satunya kemudahan yang dapat kami lihat sebagai sasaran yang kami yakini,” katanya. Menurut Eshagh, Netanyahu membuat tuduhan itu tanpa rasa malu dan hipokrit.


“Israel menyusun operasi di Iran yang membawa kepada pembunuhan beberapa saintis nuklear Iran,” katanya. Eshagh turut mempersenda graf versi kartun digunakan Netanyahu dalam ucapannya.

“Untuk kali kedua dalam sejarah PBB, satu graf imaginasi dan tak berasas digunakan untuk menghalalkan ancaman terhadap negara anggota PBB,” katanya. - AFP

No comments:

Post a Comment