Ramley dan Norhaileyza (kanan) menunjukkan Bantal 1Malaysia dijual di kedainya. |
Itulah keunikan bagi Kedai Bantal 1Malaysia, apabila mereka yang mula-mula dulu menggunakan '1Malaysia' sebagai identiti produk, sebelum ia digunakan kerajaan untuk beberapa produk dan perkhidmatan.
Kedai milik Norhaileyza terletak di Paroi. |
Menurut Norhaileyza, kedainya yang terletak di Paroi, dekat sini mula beroperasi sejak 2005 dan ketika itu kerajaan belum lagi mengeluarkan barangan 1Malaysia seperti sekarang.
Malah, katanya, dia tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti jenama '1Malaysia' akan digunakan kerajaan untuk produk-produk yang menggambarkan suasana masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Sejak mula berniaga memang kami menggunakan jenama Bantal 1Malaysia. Pada ketika itu, kami memikirkan produk dijual itu haruslah murah serta mampu dibeli semua golongan.
“Tidak sangka pula, apa yang difikirkan kami hampir sama dengan konsep kerajaan terhadap barangan 1Malaysia yang kini boleh diperolehi di merata-rata tempat.
“Biarpun konsepnya sama, tetapi sehingga kini, kami berbangga kerana menjadi peniaga pertama yang mengunakan nama tersebut dengan menjual Bantal 1Malaysia di Seremban,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Norhaileyza berkata, kedai ilham daripada bapanya, Ramley Abdullah, 56, itu sehingga kini tidak pernah mendapat bantuan daripada mana-mana badan kerajaan.
Menurutnya, sejak ayahnya pencen askar, dia menggunakan modal sendiri untuk memulakan perniagaan ini sehingga sekarang.
“Kami pernah juga cuba mendapatkan bantuan daripada badan kerajaan, namun semuanya amat mengecewakan berikutan terdapat beberapa syarat yang tidak mampu kami penuhi.
“Bagaimana pun, kami tetap bersemangat meneruskan perniagaan ini, memandangkan bukan semua berminat hendak berniaga bantal, lebih-lebih lagi bantal berkonsepkan 1Malaysia.
“Dari segi harga, boleh dikatakan bantal kami jauh lebih murah hampir 70 hingga 80 peratus murah dari harga pasaran,” katanya.
Katanya, lebih 20 jenis bantal dengan pelbagai material boleh diperolehi di kedainya itu serendah RM6 sehingga mencecah RM200.
“Namun, bagi bantal 1Malaysia, kebanyakannya kami jual dengan harga RM10 sahaja dengan mengunakan material jenis ’foam’ yang senang dijaga dan tidak mudah menjadi leper,” katanya.
Selain itu, katanya, kepada mana-mana peniaga yang berminat untuk menjual bantal 1Malaysia, kedainya juga ada menyediakan perkhidmatan bagi mendapatkan bantal secara borong.
No comments:
Post a Comment