Saturday, September 29, 2012

1,100 jemaah haji wanita diarah pulang



RIYADH - Arab Saudi untuk pertama kali mengarahkan 1,100 jemaah haji wanita warga Nigeria pulang semula ke negara mereka kerana tidak mematuhi syarat ditetapkan oleh negara itu.

Menurut kementerian yang mengendalikan urusan jemaah haji di Arab Saudi, tindakan tersebut diambil kerana ribuan jemaah haji itu tidak diiringi saudara lelaki mahram mereka.

Kementerian itu menyatakan, ia adalah peraturan biasa yang dikenakan terhadap mana-mana wanita yang telah memohon visa untuk memasuki negara tersebut.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan semalam, Suruhanjaya Haji Nigeria memaklumkan jemaah haji wanita negara itu sebenarnya dikecualikan daripada peraturan ketat tersebut mengikut perjanjian dua hala yang dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Difahamkan, Nigeria telah menghantar delegasi ke Arab Saudi untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan pihak berkuasa bersetuju untuk membenarkan jemaah haji wanita itu masuk ke negara terbabit hanya jika mereka diiringi saudara lelaki mahram masing-masing.

Di bawah undang-undang negara itu, wanita yang berumur 45 tahun ke bawah yang berhasrat untuk menunaikan Rukun Islam Kelima tersebut mesti diiringi oleh suami atau ahli keluarga lelaki.

Golongan wanita berumur 45 ke atas pula diberi kelonggaran mematuhi peraturan itu, namun mereka masih perlu berada di dalam kumpulan yang dikendalikan oleh pengiring agensi atau pegawai haji.

No comments:

Post a Comment