Penunjuk perasaan berarak membawa kain rentang membantah filem anti-Islam, Innoncence of Muslims, di Quetta, Pakistan, semalam. |
Misi diplomat Barat di seluruh dunia Islam mengetatkan kawalan keselamatan dengan sebahagiannya menutup operasi berikutan jangkaan bantahan besar-besaran akan diadakan selepas solat Jumaat.
Pegawai perundangan tertinggi Islam Mesir kelmarin berkata umat Islam sepatutnya mengikut contoh Nabi Muhammad SAW yang bertenang berdepan penghinaan terhadap baginda tanpa membalas dendam.
Bagaimanapun, desakan itu kelihatan tidak akan menenangkan kemarahan.
“Serangan terhadap Nabi Muhammad SAW adalah serangan ke atas 1.5 bilion umat Islam. Ini sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Perdana Menteri Pakistan, Raja Pervez Ashraf, dalam ucapan yang kepada ahli politik dan pemimpin agama.
Isytihar Jumaat Hari Kasih sayang Nabi Muhammad SAW
Pakistan mengisytiharkan Jumaat sebagai Hari Kasih Sayang kepada Nabi Muhammad SAW.
Penunjuk perasaan membanjiri jalan raya di Peshawar, pekan lama terletak di jalan raya utama menuju Afghanistan dan membakar panggung wayang serta bertempur dengan polis pencegah rusuhan yang cuba menyuraikan mereka.
Sekurang-kurangnya lima penunjuk perasaan cedera, kata doktor di hospital utama bandar raya itu.
Di Islamabad, kira-kira 1,000 penunjuk perasaan yang membaling batu bertempur dengan polis ketika cuba menuju ke kedutaan Amerika kelmarin dan kerajaan menyekat perkhidmatan telefon bimbit di lebih 12 bandar raya sebagai langkah keselamatan menjelang bantahan semalam. - Reuters
No comments:
Post a Comment