FLORIDA 28 Sept. - Sejenis tikus kecil dari Afrika didapati mampu menyembuhkan lukanya sendiri, sekali gus menjadi kunci kepada revolusi perubatan dalam bidang pertumbuhan semula tisu mamalia.
Sebelum ini, hanya cicak diketahui boleh menggantikan anggotanya yang hilang, namun secara saintifik, biologi amfibia sangat berbeza dengan manusia dan pakar mendapati haiwan itu tidak boleh digunakan dalam perubatan manusia.
Menurut sekumpulan saintis dari Universiti Florida, gen tikus kecil dari Afrika yang dikenali dengan nama santifiknya Acomys kempi dan Acomys percivali itu didapati paling hampir dengan manusia dan berpotensi merawat luka manusia.
Ketua kajian, Ashley Seifert berkata, tikus itu mampu membina semula tisu telinga sama seperti cicak membina semula anggotanya yang hilang akibat diserang.
"Tikus kecil ini mampu menghasilkan kulit, folikel rambut dan rawan," katanya.
Seifert melakukan ujian menggunakan kaedah menebuk lubang pada telinga tikus tersebut untuk melihat bagaimana ia akan tumbuh semula.
"Keputusannya sangat menakjubkan. Tisu yang pelbagai tumbuh semula melalui kaedah yang sama digunakan oleh cicak untuk menghasilkan anggotanya," katanya.
Sementara itu, Profesor Ken Muneoka dari Universiti Tulane, menganggap penemuan tersebut sangat penting kerana ia menghasilkan kaedah baru perubatan merawat luka di bahagian kulit dan pertumbuhan semula tisu di kalangan manusia. - AGENSI
No comments:
Post a Comment