AMPANG JAYA - Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Datuk Norizan Ali cedera parah selepas ditikam dengan senjata tajam oleh dua lelaki disyaki warga asing di hadapan rumahnya di Jalan 2/4, Taman Dagang di sini semalam.
Kejadian pukul 3.30 pagi itu berlaku ketika Norizan, 41, yang juga ahli perniagaan baru pulang dari menonton perlawanan bola sepak Liga Perdana England bersama rakan-rakan di sebuah restoran, kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, mangsa diserang oleh suspek tersebut selepas keluar dari kereta jenis Mercedes Benz dan berlaku pergelutan berdasarkan kesan di tempat kejadian.
Katanya, selepas ditikam, mangsa sempat melarikan diri menuju ke rumahnya untuk meminta bantuan keluarganya sebelum pengsan.
"Jarak antara kereta dan rumahnya kira-kira 20 meter. Suspek mengambil peluang itu untuk menyerang mangsa tetapi kereta, telefon bimbit dan cincin mangsa tidak dilarikan.
"Selain perut, mangsa juga cedera di jari tangan akibat tikaman itu. Ada saksi nampak beberapa buah kereta beredar selepas kejadian namun kita akan menjalankan siasatan lanjut termasuk mengambil keterangan mangsa bagi mengetahui motif kejadian," katanya.
Norizan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Ampang selepas menjalani pembedahan.
Menurut Tun Hisan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika menyamun.
Sementara itu, isteri mangsa, Datin Roslinda Kamaruddin, 38, berkata, dia terkejut apabila mendengar pintu rumah diketuk bertalu-talu diiringi jeritan meminta tolong.
"Sebaik dibuka, saya terperanjat apabila mendapati suami terbaring berlumuran darah sebelum meminta tolong jiran untuk memanggil ambulans dan polis," ceritanya ketika ditemui.
Dalam pada itu, jiran mangsa, Azim Shaharbudin, 24, pula memberitahu, dia terus keluar rumah selepas terdengar jeritan yang pada mulanya disangka pergaduhan keluarga.
"Ketika itu saya sedang menonton perlawanan bola sepak sebelum terdengar suara lelaki minta tolong. Selepas didekati, saya lihat keluarga Datuk Norizan panik dengan mangsa memegang perut yang berlumuran darah," katanya.
Tambahnya, beberapa minit kemudian, polis tiba di rumah mangsa dan ahli politik itu sempat memberitahu yang dia diserang selepas pulang menonton perlawanan bola sepak.
No comments:
Post a Comment