Tiga tahun tiada pengadang
Keadaan jambatan yang tiada besi penghadang menunggu masa untuk roboh.
KAMPUNG SEBERANG JAYA, LUBOK BULUH - Keadaan jambatan besi dibina 10 tahun lepas bukan hanya uzur, malah merisaukan penduduk yang mendakwa hakisan tebing semakin kritikal serta tiadanya besi pengadang.

Penduduk, Maisarah Abdul Rahman, 25, berkata, hakisan berlaku sejak Mei lalu kini semakin kuat tanpa sebarang tindakan sepatutnya.

Menurutnya, kes tersebut sudah dimaklumkan kepada kepimpinan peringkat kampung namun jawapannya tetap sama masih tiada perubahan.

“Sudah tiga tahun jambatan itu tiada besi pengadang dan ini sangat bahaya kerana ramai kanak-kanak ke sekolah menggunakan basikal.

“Saya hendak lalu dengan kereta pun tidak sanggup, dan ada yang letak kenderaan di kampung luar di rumah saudara mara,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Maisarah berkata, keadaan semakin membimbangkan jika jambatan tersebut tidak dibaik pulih sebelum musim banjir.

Katanya, jika banjir air akan naik sehingga paras bahu atas jambatan tersebut.

“Bayangkan kalau penduduk lalu tanpa pengadang besi ketika banjir nanti, mungkin ada yang akan tergelincir.

“Mungkin hendak tunggu ada yang jatuh dahulu baru hendak bertindak,” katanya.