BERLIN 24 Sept. - Remaja yang mula berjinak-jinak dengan rokok sebenarnya memperbodohkan diri sendiri sekiranya mereka menganggap boleh menghentikan tabiat itu dengan mudah.
Satu kajian oleh Universiti California di San Francisco mendedahkan bahawa pengambilan dua batang rokok sehari sudah cukup membuatkan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun untuk ketagih kepada nikotin.
''Ibu bapa perlu menjelaskan tentang bahaya merokok kepada anak masing-masing pada usia mereka masih di peringkat sekolah rendah lagi,'' nasihat Matthias Brockstedt, kaunselor Persatuan Profesional Pakar Perubatan Belia dan Kanak-Kanak Jerman.
Untuk itu, katanya, ibu bapa boleh membantu anak remaja masing-masing dengan mengukuhkan keyakinan diri mereka dan memberikan panduan bagaimana untuk berkata 'tidak' kepada rokok.
Alam dewasa adalah sukar digambarkan bagi remaja, oleh itu mereka sendiri perlu memainkan peranan supaya menjauhi rokok sekiranya menyedari akan kesan pengambilan nikotin.
Pengambilan nikotin mengakibatkan nafas berbau, jari dan gigi menjadi kuning, warna kulit menjadi pudar, pakaian berbau busuk, sukar bernafas dan prestasi sukan yang berkurangan.
''Hakikatnya ialah perokok berisiko tinggi mendapat penyakit seperti barah, serangan jantung, strok dan penyakit arteri kaki.
''Ini kerana, remaja akan berfikir kesan buruk akibat rokok hanya terjadi kepada orang lain dan bukan di kalangan keluarga terdekat,'' kata Brockstedt.
Sebaik-baiknya, ibu bapa perlu menjadi contoh dengan tidak merokok dan sekiranya mereka merokok, tabiat itu seharusnya dilakukan di luar rumah.
Ibu bapa yang merokok juga perlu mengingatkan anak-anak bahawa mereka menyesal kerana memulakan tabiat merokok. - DPA
No comments:
Post a Comment