KUALA TERENGGANU: Hasrat sepasang warga emas menunaikan ibadat haji selepas 50 tahun membanting kudrat menoreh getah dan menjual ikan sungai bagi mengumpul wang untuk ke Tanah Suci termakbul apabila mereka berlepas menerusi penerbangan terus dari bandar raya ini ke Jeddah, semalam.
Daud Seman, 77, dan isterinya, Zainab Piah, 78, dari Gua Musang, Kelantan ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini semalam, berkata mereka tidak menduga hasrat untuk menunaikan haji sejak sekian lama akhirnya tercapai.
Menurut Daud, meskipun pendapatannya sebagai penoreh getah dan penangkap ikan di sungai hanya kira-kira RM500 sebulan, keadaan itu tidak pernah menjejaskan semangatnya untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci.
“Dalam tempoh itu, saya dan isteri terus berjimat cermat menguruskan perbelanjaan rumah serta pembiayaan sekolah tiga anak.
“Syukurlah selepas 50 tahun, akhirnya simpanan kami cukup dan saya terus mengajak seorang anak untuk mendaftarkan kami ke Tabung Haji pada Disember 2011 sebelum dimaklumkan permohonan kami lulus,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia dan isteri ditemani anak bongsunya, Abdul Hisham Daud, 41, dan berharap mereka akan mendapat haji yang mabrur.
Tiga beranak itu antara 446 jemaah haji yang berlepas terus dari LTSM ke Jeddah, semalam.
Ia penerbangan kedua membawa jemaah haji dari LTSM selepas penerbangan pertama terus ke Madinah pada 29 September lalu membabitkan 445 jemaah dari Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat menyempurnakan majlis pelepasan jemaah terbabit yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment