Wednesday, October 10, 2012

11 lagi maut di selatan Thai



Bangkok: Pemisah kelmarin disyaki menembak mati 11 orang termasuk tiga renjer yang sedang melakukan rondaan dalam sebuah trak di wilayah Pattani, selatan Thailand.

Selain itu, pihak polis melaporkan, empat penoreh getah beragama Buddha ditemui mati dalam dua jadian berbeza pada hari yang sama di Pattani manakala dua lelaki Muslim maut kena tembak di wilayah Yala.
Dua peniaga sayur juga ditembak mati berdekatan wilayah Songkhla yang jarang berlaku keganasan sehingga beberapa serangan berlaku awal tahun ini, termasuklah beberapa pengeboman kenderaan yang meragut 15 nyawa, April lalu.

Tuntut lebih autonomi

Pemisah menuntut diberi autonomi lebih meluas sejak pemberontakan bermula pada 2004 menyebabkan penganut Buddha dan Islam antara 5,300 nyawa, kebanyakannya terkorban dalam insiden letupan dan tembakan.

Ogos lalu, pihak berkuasa berkata, mereka mengadakan rundingan damai tidak rasmi dengan beberapa kumpulan pemisah yang dianggap tindakan mengubah dasar berikutan peningkatan dalam serangan.

Tolak penyelesaian

“Ada di kalangan militan menolak penyelesaian secara aman dan mengambil peluang untuk melakukan keganasan untuk menakutkan penduduk,” kata jurucakap tentera di selatan, Kolonel Pramote Prom-in.

“Kami sedang mencari jalan untuk menghalang keganasan ini. Setakat ini kami masih belum menemuinya,” ujar beliau.
Militan di selatan Thai bukan sebahagian daripada gerakan jihad global tetapi memberontak kerana diskriminasi terhadap etnik Melayu Islam oleh kerajaan Thailand dan pencabulan hak asasi oleh tentera.

Dalam perkembangan lain, Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT) akan menukar siaran menggunakan dialek Melayu di televisyen dan stesen radio di selatan Thai mulai tahun depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nivatthamrong Boonsongpaisal.

Pada masa ini, stesen NBT di selatan Thai hanya menyiarkan program dialek Melayu beberapa jam sehari saja, lapor The Nation.

Nivatthamrong berkata, beliau akan mengarahkan stesen berkenaan menyiarkan rancangan dalam bahasa Melayu setiap masa mulai Januari 2013. Pejabat Nivatthamrong bertanggungjawab beroperasi di bawah NBT dan Jabatan Hal Ehwal Awam kerajaan. - AFP


No comments:

Post a Comment