Wednesday, October 10, 2012

Pemberontak lancar serangan berani mati

Pemberontak lancar serangan berani mati:

AMMAN 9 Okt. - Kumpulan pemberontak melancarkan serangan berani mati ke atas sebuah kubu pasukan keselamatan di Damsyik malam semalam, serangan terbaru ke atas unit tentera yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad.
Kumpulan militan al-Nusra mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ke atas bangunan Risikan Tentera Udara yang terletak di Harasta.
Kumpulan itu dalam kenyataannya mendakwa, pegawai-pegawai tentera yang bertugas di bangunan tersebut memainkan peranan penting untuk mematahkan pemberontakan yang telah berlanjutan lebih 18 bulan.
Penduduk tempatan dan aktivis pembangkang berkata, kedengaran bunyi letupan besar, sebelum disusuli pertempuran senjata api antara pemberontak dan tentera kerajaan.
Video yang disiarkan aktivis turut menunjukkan kesan letupan tersebut, namun keaslian video terbabit tidak dapat disahkan.
"Serangan ke atas bangunan Risikan Tentera Udara itu adalah kerana unit tersebut merupakan satu daripada divisyen keselamatan Syria yang paling kejam," jelas satu kenyataan kumpulan al-Nusra yang disiarkan dalam laman sosial Facebook.
Unit Risikan Tentera Udara diketuai Jeneral Jamil Hassan, seorang daripada leftenan tertinggi Bashar dan unit tersebut dikuasai ramai pegawai yang terdiri daripada minoriti kaum Alawite.
Bagaimanapun, tiada maklumat menyatakan sama ada Jamil berada di dalam bangunan tersebut ketika serangan itu atau tidak.
Aktivis pembangkang mendakwa beratus-ratus penentang Assad telah dipenjarakan tanpa bicara dan didera di kompleks bangunan di Harasta itu.
Kumpulan hak asasi manusia turut menuduh pemberontak melakukan penderaan ke atas tahanan.
Dalam perkembangan lain, tentera udara melancarkan serangan ke atas bandar Salqeen di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak, semalam menyebabkan 17 orang terbunuh, termasuk lima kanak-kanak dan angka korban dijangka meningkat kerana ramai yang mengalami cedera parah, kata kumpulan aktivis yang berpangkalan di Britain itu.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berkata, tujuh orang dilaporkan turut terbunuh dalam serangan meriam tentera kerajaan di wilayah Daraa, Hama dan Homs. - REUTERS/AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121010/lu_02/Pemberontak-lancar-serangan-berani-mati#ixzz28xtSMJ19
© Utusan Melayu (M) Bhd 

'via Blog this'

No comments:

Post a Comment