Monday, October 1, 2012

Gambar FB al-Quran dibakar cetus kemarahan

DHAKA - Penyiaran sekeping gambar al-Quran terbakar di laman sosial Facebook telah menyebabkan sekumpulan penunjuk perasaan beragama Islam menyerang sebuah perkampungan Buddha di Bangladesh.

Menurut saksi, kumpulan yang marah itu turut membakar rumah dan kuil di daerah Cox Bazar sehingga menyebabkan penduduk kampung berkenaan lari menyelamatkan diri.
Sehubungan itu, pihak berkuasa telah menguatkuasakan perintah berkurung dan pasukan keselamatan mengadakan rondaan di kawasan yang terjejas.
Sementara itu, lelaki yang dituduh menyiarkan imej tersebut diletakkan di bawah jagaan pihak polis.

Mangsa keganasan menyifatkan kejadian terbaru ini satu 'keganasan komunal terancang', yang menyasarkan penempatan penganut Buddha di Bangladesh.
"Sebelum mereka membakar rumah saya, mereka telah merompak segala-galanya.

"Mereka mengambil harta benda, wang, emas dan juga komputer kami. Kini saya hidup di bawah langit terbuka," kata pemastautin tetap, Sumoto Barua.
Keganasan meletus Sabtu lalu dan berterusan sehingga semalam.

Beratus-ratus penunjuk perasaan dikatakan merempuh masuk melalui kawasan kejiranan Buddha dan memecahkan patung, membakar biara serta menyerang rumah penduduk.
Seterusnya, keganasan telah merebak sehingga bandar perlabuhan, Chittagong, di mana kuil Hindu turut diserang.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Mohiuddin Alamgir Khan turut melawat tempat kejadian dan mengutuk keganasan itu.
Beliau menyifatkan insiden itu sebagai 'jenayah terancang' terhadap kaum minoriti.
Pesuruhjaya Daerah Cox Bazar, Jaynul Bari memberitahu BBC, pasukan tentera Bengali turut akan membantu mangsa.

"Kami telah mengedarkan bantuan makanan untuk mereka. Pihak tentera juga akan membekalkan lebih banyak makanan.
"Menteri Dalam Negeri telah mengarahkan supaya semua rumah dan kuil dipulihkan di tapak asal melalui dana yang disediakan oleh kerajaan," katanya.
Pada masa ini, pihak berkuasa telah menambah kawalan keselamatan bagi mengekang keganasan dan perintah berkurung turut dikenakan di kawasan paling teruk terjejas di Ramu, sebuah daerah kecil negara itu.

No comments:

Post a Comment