Monday, October 1, 2012

Portugal bantah bajet kerajaan



Penunjuk perasaan memegang sepanduk membantah langkah penjimatan kerajaan di Lisbon, Portugal, kelmarin. - Reuters
LISBON 30 Sept. - Selepas rakyat Greece dan Sepanyol mengadakan tunjuk perasaan, baru-baru ini bagi membantah langkah penjimatan kerajaan, kini penduduk Portugal pula bangkit membuat bantahan sama.
Beribu-ribu penduduk Portugal berhimpun di jalan-jalan raya di kota Libson, semalam bagi membantah program penjimatan kerajaan yang dijangka lebih ketat bagi memenuhi janji yang dibuat kepada pemiutang antarabangsa.
Penunjuk perasaan memenuhi Dataran Praca do Comercio di tengah bandar raya ini selepas Kongres Umum Pekerja Portugal (CGTP) melancarkan demonstrasi bagi menentang 'kecurian pencen dan gaji'.
Menteri Kewangan Portugal, Vitor Gaspar telah memberi petunjuk bahawa kerajaan akan mengumumkan langkah baru termasuk pemotongan perbelanjaan dan peningkatan cukai modal bagi memenuhi sasaran defisit.
Penunjuk perasaan meniup wisel dan memukul gendang sambil memekik 'Gagalkan Penjimatan' serta mengibarkan bendera kesatuan yang mewakili kakitangan awam tempatan, guru dan polis itu.
Di Sepanyol, beribu-ribu penunjuk perasaan terus berhimpun di kota Madrid, semalam ketika kerajaan membentangkan bajet penjimatan dan memberi amaran hutang awam serta defisit dijangka meningkat lebih tinggi daripada yang diramal sebelum ini.
Penunjuk perasaan menggesa ahli politik meletak jawatan dan mengecam pemotongan bajet oleh kerajaan konservatif ketika mereka berhimpun di luar Dewan Rendah yang dikenali sebagai Congress of Deputies, petang semalam.
Penunjuk perasaan turut memegang sepanduk yang tertera perkataan 'Tidak', 'Letak Jawatan' dan 'Demokrasi' sambil memekik 'Mereka tidak menghormati kita' kepada wakil-wakil rakyat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121001/lu_03/Portugal-bantah-bajet-kerajaan#ixzz282TLaH67
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment