Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
Rakan sekerja Kosenda, Torishima tidak ketinggalan menepung tawar pengantin pada majlis itu.
KUANTAN - Tempoh dua tahun berada di Malaysia cukup membuatkan pasangan Jepun, Tetsu Kosenda, 28, dan Chiaki Kosenda, 27, jatuh cinta dengan budaya dan adat masyarakat Melayu.

Justeru, mereka memilih untuk mengadakan majlis resepsi perkahwinan bertemakan adat Melayu yang kaya dengan keunikan seperti acara persandingan dan menepung tawar.

Kosenda, yang bekerja sebagai Jurutera Kawalan Kualiti di TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd di Jaya Gading melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya di Jepun Ogos lalu itu kelihatan sepadan dalam persalinan merah jambu sempena perkahwinan mereka.

Menurutnya, dia memilih mengabadikan kenangan manis perkahwinan dengan isteri tercinta bersama kakitangan syarikat yang terdiri daripada masyarakat Melayu.

“Selain kagum dengan adat Melayu, saya juga suka dengan pakaian pengantin seperti tanjak yang unik.

“Saya gembira apabila majlis perkahwinan saya berlangsung dengan meriah malah turut diraikan rakan sekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Jaya Gading, di sini.

Turut meraikan perkahwinan pasangan ini, Pengarah Urusan TDK Lambda Malaysia Sdn Bhd, Yuzuru Honma dan Jurutera Kanan, Nakazawa.
Kosenda berkata, dia dan isteri masih belum berpeluang berbulan madu namun merancang untuk ke tempat menarik di Malaysia.