Friday, November 2, 2012

5,000 penduduk tuntut jambatan baharu




DUA penduduk terpaksa meredah sungai selepas jambatan yang menghubungkan Kampung Laksamana dan Batu Caves, Gombak runtuh sejak dua minggu lalu.


GOMBAK – Lebih 5,000 penduduk di sekitar Kampung Laksamana dan Batu Caves di sini meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membina jambatan baharu bagi menggantikan jambatan lama yang runtuh sejak dua minggu lalu.
Penduduk mendakwa mereka menghadapi banyak kesulitan untuk menjalankan aktiviti harian selepas jambatan sepanjang 50 meter dan selebar 1.5 meter yang menghubungkan dua kampung tersebut runtuh.
Seorang aktivis masyarakat di Batu Caves, V. Sundramoorthy, 54, mendakwa, jambatan berusia lebih 50 tahun yang diperbuat daripada besi dan batu konkrit itu runtuh akibat air deras di Sungai Tua akibat hujan lebat sejak kebelakangan ini.
“Jambatan tersebut selama ini menjadi laluan utama penunggang motosikal dan pejalan kaki ke tempat kerja, masjid, klinik, sekolah serta pasar,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, S. Sahadevan, 42, dari Kampung Laksamana pula meluahkan rasa bimbang terhadap keselamatan penduduk terutamanya pelajar dan warga emas yang terpaksa meredah sungai tersebut kerana jalan alternatif jauh.
“Kami terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lebih enam kilometer untuk ke bandar sekiranya menggunakan jalan alternatif tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Sahadevan menggesa JPS supaya membina jambatan baharu untuk keselesaan dan keselamatan penduduk terlibat.
Katanya, JPS juga boleh membina sebuah jambatan berstatus sementara untuk kemudahan penduduk menjelang sambutan perayaan Deepavali.

No comments:

Post a Comment