Friday, November 9, 2012

Bot karam: 90 Rohingya hilang


Gambar bertarikh 31 Oktober lalu, menunjukkan pelarian Rohingya Islam yang menaiki bot, menuju ke kampung Ohnetaw, pinggir Sittwe, ibu negeri Rakhine, Myanmar. - AFP
DHAKA 7 Nov. - Kira-kira 90 penumpang sebuah bot dikhuatiri hilang selepas bot yang membawa pelarian Rohingya Islam untuk ke Malaysia itu karam di perairan Bangladesh awal hari ini, tragedi kedua berlaku dalam tempoh tidak sampai dua minggu.
Komander Pengawal Sempadan Bangladesh, Leftenan Kolonel Zahid Hasan berkata, bot tersebut membawa kira-kira 110 penumpang sebelum ia karam 15 kilometer dari pantai Cox's Bazaar, selatan negara ini.
"Kami sempat menyelamatkan 23 penumpang dengan bantuan nelayan tempatan dan misi menyelamat masih diteruskan," katanya.
Zahid turut mengesahkan sekurang-kurangnya dua daripada mangsa yang terselamat merupakan etnik Rohingya Islam dan mereka kini ditahan.
Sementara itu, Komander Pengawal Pantai, Leftenan Badruddoza berkata, kerja-kerja menyelamat diteruskan dengan bantuan tentera laut Bangladesh.
Pada 28 Oktober lalu, sebuah bot yang membawa 135 penumpang, kebanyakannya pelarian Rohingya Islam yang melarikan diri berikutan sengketa agama di negeri Rakhine, Myanmar, karam di Teluk Bengal dengan hanya enam terselamat dalam kejadian itu.
Beratus-ratus ribu etnik Rohingya Islam meninggalkan Myanmar sejak beberapa dekad lalu bagi mendapatkan perlindungan dan kebanyakannya cuba melarikan diri ke Bangladesh.- AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121108/lu_05/Bot-karam-90-Rohingya-hilang#ixzz2BjgvbZpW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment