Monday, November 26, 2012

China berjaya jalani ujian


Gambar tanpa tarikh dikeluarkan agensi berita Xinhua merakamkan, jet pejuang J-15 selamat mendarat di atas kapal pengangkut pesawat Liaoning di lokasi yang tidak dinyatakan. - AGENSI
BEIJING 25 Nov. - China dilaporkan berjaya mengendalikan ujian pertama pendaratan jet pejuang di atas kapal pengangkut pesawat terbaharunya, sebagai langkah meningkatkan keupayaan Beijing di wilayah maritim yang menjadi pertikaian.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya berkata, pesawat buatan tempatan, J-15 berjaya melakukan pendaratan di atas geladak kapal pengangkut pesawat Liaoning yang dibeli dari Ukraine, semasa satu latihan baru-baru ini.
Kapal pengangkut Liaoning memulakan perkhidmatannya pada September lalu, sebagai simbolik China memperkuatkan pasukan tenteranya ketika Beijing berdepan isu pertikaian wilayah dengan beberapa negara jirannya.
China membeli kapal tersebuat dari Ukraine hampir 10 tahun lalu dan membaik pulih kapal berkenaan di pelabuhan Dalian, timur laut republik ini.
Menurut Kementerian Pertahanan, teknologi pendaratan yang menggunakan kabel teknikal berkeupayaan tinggi itu telah digunakan ketika latihan baru-baru ini.
"Pesawat J-15 juga berlepas dengan baik. Sejak Liaoning memulakan perkhidmatan, krew kapal telah menjalankan lebih 100 program latihan dan ujian," jelas kenyataan terbabit.
Kapal pengangkut pesawat terbaharu China itu dijangka tidak akan memulakan operasi secara sepenuhnya sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga tahun lagi.
China juga dilapor sedang membina sekurang-kurangnya dua kapal pengangkut pesawat lagi yang dijangka siap menjelang 2020.
Isu pertikaian wilayah di Laut China Timur semakin tegang sejak beberapa bulan kebelakangan ini membabitkan perebutan antara China dan Jepun ke atas kepulauan Diaoyu, yang dikenali sebagai Senkaku oleh Tokyo.
Beijing turut terlibat dalam isu pertikaian wilayah dengan Vietnam dan Filipina di Laut China Selatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121126/lu_06/China-berjaya-jalani-ujian#ixzz2DKZgOjev
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment