Monday, November 26, 2012

Hakim-hakim Mesir anjur demonstrasi bantah Presiden


Hakim-hakim melaungkan slogan antikerajaan di hadapan bangunan Majlis Perundangan Agung di Kaherah, Mesir, kelmarin. - REUTERS
KAHERAH 25 Nov. - Hakim-hakim di Mesir, semalam mendesak Presiden Mohammed Mursi menarik balik perintah khas yang menetapkan bahawa keputusannya tidak boleh dicabar oleh perundangan, dengan mula melancarkan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara.
Kelab Hakim Mesir, sebuah badan yang mewakili hakim-hakim di seluruh Mesir, mendesak 'penggantungan kerja di semua mahkamah dan pentadbiran pendakwaan' selepas beberapa jam mengadakan rundingan mengejut sebagai tindak balas terhadap perintah yang didakwa mereka sebagai 'serangan ganas Mursi terhadap sistem keadilan di Mesir.'
Ketika kumpulan hakim itu bertemu, pertubuhan awam diketuai bekas ketua pemantau nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mohamed ElBaradei dan bekas calon Presiden, Hamdeen Sabbahi, Amr Mussa dan Abdelmoneim Abul Futuh pula berkata, tiada lagi dialog dengan Mursi, melainkan beliau menarik balik perintah yang dikeluarkan itu.
"Kami menolak sebarang dialog dengan Presiden sehingga beliau membatalkan perintah yang dikeluarkannya itu," merujuk kepada kenyataan bersama yang dibacakan pada satu sidang media.
Sebelum itu, penunjuk perasaan cuba menyerang Mahkamah Tinggi ketika hakim sedang bermesyuarat, namun kumpulan itu disuraikan oleh polis yang melepaskan gas pemedih mata.
Tidak berapa jauh dari situ, polis antirusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan tunjuk perasaan anti-Mursi yang memenuhi Dataran Tahrir.
Keadaan yang berlaku menyebabkan beberapa negara Barat menyuarakan kebimbangan terhadap krisis politik yang sedang berlaku di Mesir.
Beberapa badan perundangan mengutuk perintah Mursi itu, dengan Majlis Perundangan Agung mendakwa perintah itu sebagai 'serangan yang tidak pernah berlaku dalam badan kehakiman yang bebas dan juga pemerintahannya.' - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121126/lu_05/Hakim-hakim-Mesir-anjur-demonstrasi-bantah-Presiden#ixzz2DKYOunRh
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment