GAZA CITY - Sementara konflik melanda Palestin dan Israel masuk hari ketujuh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton mengumumkan akan melawat rantau itu bagi membantu menyelesaikan ketegangan yang berterusan.
Clinton dijangka meninggalkan Kemboja lewat malam ini dan terus menuju ke Israel, Ramallah dan Mesir.
“Beliau dijangka bertemu pemimpin serantau, bermula dengan rakan kongsi Israel kami dan akan membuat rundingan mengenai situasi di Gaza,” kata Timbalan Pengarah Keselamatan AS, Ben Rhodes.
Beliau turut berkata, rangka lawatan itu akan menyokong tindakan Israel dan cuba menyelesaikan kemelut rantau tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon turut bergegas ke Mesir bagi membantu mencari jalan penyelesaian berhubung krisis yang melanda Palestin.
Ki-moon bertemu dengan Setiausaha Liga Arab, Nabil El-Araby hari ini dan mempunyai rancangan bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Presiden Mahmoud Abbas.
Pasukan Pertahanan Israel berkata mereka akan menyasarkan serangan ke 100 kawasan di Gaza iaitu terowong dan kawasan simpanan peluru Hamas.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 110 orang telah terbunuh setakat ini dan lebih 900 yang lain cedera sejak bermulanya serangan rejim zionis.
Gencatan senjata yang kononnya akan diadakan turut menemui jalan buntu apabila sehingga kini tiada sebarang keputusan dibuat.
No comments:
Post a Comment