Wednesday, November 21, 2012

Anwar: Malaysia mesti tindak tamatkan konflik Rohingya

Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim
PEMBUNUHAN kaum Muslim Rohingya di Myanmar yang berlaku semenjak bulan Jun tahun ini masih tiada berkesudahan meskipun menghadapi tentangan masyarakat antarabangsa, dan telah menyebabkan kematian hampir 200 orang Rohingya dan seramai 110,000 tiada tempat berlindung. Penyembelihan secara sistematik ini telah dijalankan dengan bantuan kerajaan Myanmar menerusi tentera mereka, dan serangan terkini yang telah berlaku pada bulan Oktober telah menjadikan krisis tersebut semakin parah.

Dalam kenyataan media bertarikh 14 Ogos tahun ini, Pakatan Rakyat telah menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memainkan peranan dalam menghentikan serangan terhadap kaum Rohingya, lebih-lebih lagi sebagai seorang pemimpin Muslim di dalam Asean, namun senarai tindakan itu tidak dijalankan. Kami menyesali kelengahan Datuk Seri Najib, lebih-lebih lagi apabila hubungan diplomatik antara Myanmar dan Malaysia sudah lama terbentuk hasil usaha Malaysia membawa Myanmar ke dalam Asean.

Bersempena Sidang Kemuncak Asean yang ke-21 yang diadakan di Phnom Penh minggu ini, Malaysia harus berbuat yang demikian:

a. Menuntut kerajaan Myanmar hentikan pembunuhan kaum Rohingya dengan serta-merta dan membenarkan bantuan kemanusiaaan dari persatuan-persatuan antarabangsa disalurkan kepada mereka yang memerlukan, menerusi perjanjian dua hala;

b. Menuntut Asean mengeluarkan penyataan membantah serangan yang masih berterusan dan mengambil langkah menghentikannya, memandangkan perlanjutan krisis ini akan menyebabkan ketidakstabilan di negara-negara serantau;

Malaysia mesti terus memberi tekanan kepada kerajaan Myanmar untuk menghentikan serangan  terhadap kaum Rohingya, serta mengadakan perjanjian damai. Malaysia juga harus menggesa pihak Amerika dan China campur tangan dan menasihati agar kerajaan Myanmar melindungi semua golongan minoriti serta menghentikan serangan terhadap kaum Rohingya.

Negara kita mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan keganasan terhadap kaum Rohingya, terutamanya apabila kita merupakan negara jiran dan mempunyai hubungan diplomatik dengan Myanmar. Ini merupakan suatu cabaran moral untuk Malaysia, yang tentunya tidak akan diabaikan oleh sebuah kerajaan Pakatan Rakyat.


Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan Rakyat

No comments:

Post a Comment