Wednesday, November 21, 2012

Hantar senjata ke Gaza: Iran


         
DUBAI: Iran semalam menggesa negara Arab mencontohi negara itu dengan menyalurkan bantuan ketenteraan kepada penduduk Palestin.

Speaker Parlimen Iran, Ali Larijani, berkata kezaliman dilakukan rejim Zionis ke atas Gaza kini adalah keganasan terancang.


“Kami berbesar hati kerana bantuan diberikan kepada Palestin berkesan dan negara Arab masih terus mengadakan mesyuarat.

“Negara Arab sepatutnya tahu Palestin tidak perlukan kata-kata atau mesyuarat,” katanya dilaporkan agensi berita Fars. Israel meneruskan kempen keganasan ke atas Gaza melalui serangan udara awal pagi semalam kononnya dalam usaha mereka menghalang kumpulan Hamas melancarkan roket ke wilayahnya.


Tel Aviv mendakwa, serangan roket dilancar pejuang Palestin ke wilayah Israel menakutkan penduduk di selatan negara itu sejak bertahun-tahun lalu. Ali berkata, mesej Iran adalah jelas, iaitu jika negara Arab mahu menolong Palestin, mereka perlu memberi bantuan ketenteraan. Sebelum ini, pegawai Iran enggan memberi komen mengenai dakwaan Teheran membekalkan roket Fajr-5 kepada Hamas.


Kelmarin, serangan roket itu ke wilayah Eshkol di selatan Israel, membunuh seorang tentera Israel dan seorang penduduk dan mencederakan sekurang-kurangnya 15 tentera Zionis. Insiden itu menjadikan jumlah korban akibat tindak balas Palestin meningkat kepada lima orang, selain kira-kira 45 yang lain, termasuk 20 tentera, cedera. Di pihak Palestin pula, lebih 145 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, dibunuh dengan lebih 1,100 lagi cedera dalam lebih 1,450 serangan. - Reuters

No comments:

Post a Comment