Wednesday, November 7, 2012

Letupan di Mezzeh ragut 11 nyawa



Orang ramai berkumpul di lokasi letupan yang turut memusnahkan kenderaan di Mezzeh 86, barat Damsyik, Syria, kelmarin. - REUTERS
BEIRUT 6 Nov. - Satu serangan bom di barat Damsyik semalam menyebabkan 11 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera, termasuk kanak-kanak, lapor televisyen milik kerajaan Syria.
Laporan itu bagaimanapun tidak memberikan butiran terperinci.
Namun Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia menyatakan, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 30 lagi cedera akibat letupan kereta di kawasan yang dikenali sebagai 'Mezzeh 86' itu.
Daerah yang terletak di pinggir bukit berhampiran lebuh raya ke Lebanon itu didiami oleh kebanyakan anggota minoriti Alawite Presiden Bashar al-Assad, satu puak dalam Syiah yang mendominasi kuasa di negara yang majoritinya dihuni oleh Sunnah sejak 1960-an.
Satu unit pemberontak, Seif al-Sham mengakui bertanggungjawab melakukan serangan itu yang disifatkan mereka disasarkan ke atas tempat mesyuarat bagi tentera dan polis, selain militia yang setia kepada Assad yang dikenali sebagai shabbiha (hantu).
"Serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas kepada tindakan ganas kerajaan Syria," menurut satu kenyataan daripada kumpulan terbabit.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan, adik kepada Speaker Parlimen Syria, Jihad Laham maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di ibu negara ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Menurut laporan agensi berita SANA, mangsa, Mohammed Osama Laham ditembak mati di kawasan penempatan Midan dalam kejadian yang menyasarkan pembunuhan pegawai-pegawai kerajaan, pegawai tentera dan penyokong Assad. - REUTERS/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121107/lu_03/Letupan-di-Mezzeh-ragut-11-nyawa#ixzz2Bb0lfQpC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment