Wednesday, November 7, 2012

Mohon hukuman mati


Tacoma: Pendakwa tentera kelmarin berkata mereka akan memohon hukuman mati ke atas tentera Amerika Syarikat yang dituduh membunuh 16 penduduk kampung Afghanistan apabila beliau keluar daripada kawasan kem dalam keadaan mabuk awal tahun ini.

Ketua pendakwa, Leftenan Kolonel Jay Morse, ketika memberitahu sesi keterangan awal, berkata beliau akan membentangkan bukti menggerunkan bagi pihak Staf Sarjan Robert Bales, veteran empat perang di Iraq dan Afghanistan.
Pembunuhan paling buruk

Tembakan ke arah wanita dan kanak-kanak di Kandahar Mac lalu menjadi kes pembunuhan penduduk awam paling buruk dilakukan tentera Amerika secara individu sejak Perang Vietnam dan mengeruhkan lagi hubungan Amerika dan Afghanistan yang sedia tegang selepas lebih sedekad konflik di negara itu.

Bales berdepan 16 tuduhan membunuh dengan niat dan enam tuduhan cubaan bunuh, selain dakwaan menyerang dan memiliki serta menggunakan steroid dan alkohol secara salah ketika bertugas.

Serah rujukan maksimum

Morse berkata, beliau menyerahkan rujukan maksimum dalam kes itu, memohon Bales dikenakan hukuman mati jika disabitkan.
Sesi keterangan di Pangkalan Lewis-McChord di Washington dijangka berlanjutan selama dua minggu. Keterangan saksi di Afghanistan yang dibuat menerusi video secara langsung, termasuk penduduk kampung dan tentera Afghanistan.

Pada akhirnya, komander tentera akan memutuskan sama ada wujud bukti kukuh bagi Bales untuk dibicarakan oleh mahkamah tentera.

Bales, berpakaian seragam tentera dan kepalanya dicukur, memeluk isterinya di mahkamah sebelum sesi bermula. Beliau kemudian duduk diam menyaksikan prosiding itu ketika Morse meringkaskan tuduhan pendakwaan kejadian 10 dan 11 Mac lalu.

Menurut Morse, Bales minum dengan dua rakannya sebelum meninggalkan kem, Kem Belambay dan pergi ke kampung yang menyaksikan beliau membunuh kali pertama.

Morse berkata, Bales kemudian kembali ke kem dan memberitahu seorang rakannya, Sarjan Jason McLaughlin.

“Saya baru menembak beberapa orang,” sebelum meninggalkan kem itu untuk kali kedua untuk ke sebuah kampung dan membunuh lebih ramai penduduk. - Reuters

No comments:

Post a Comment