6 November 2012
WAKAF CHE KAPOR - "Makcik pernah makan nasi berkuah air hujan kerana atap di rumah ini kebanyakannya bocor teruk."
Itu luahan ibu tunggal, Sapiah A Rahman, 62, yang berkongsi cerita sedih mengenai keadaan rumahnya sering dibasahi air hujan kerana atap zink lebih 10 tahun semakin usang.
"Rumah ini memang nampak elok dari luar tapi kalau masuk ke dalam, baru tahu macam mana keadaannya.
"Masalah atap ini sudah setahun lebih berlaku sehingga merebak ke bahagian dapur," katanya ketika Sinar Harian berkunjung ke rumahnya, di sini.
Sapiah yang menghidap penyakit kencing manis dan menjaga anak bongsunya, Nur Salehah Ali, 21, yang mengalami masalah pada bahagian otak berharap bantuan atap dapat disegerakan kerana musim tengkujuh telah bermula.
"Setiap hari, makcik terpaksa gunakan besen, periuk dan baldi untuk menadah air hujan malah makcik terpaksa sembahyang di celah-celah dinding yang terselamat daripada kawasan bocor." kata ibu dua anak ini.
Sapiah berkata, dia tidak mampu bekerja kerana menghidap masalah lutut akibat kencing manis.
"Bagaimanapun, dalam keadaan sebegini, saya masih kuatkan diri untuk menjaga Salehah yang sakit.
“Soal makanan, syukur Alhamdulillah kerana jiran dan saudara-mara selalu bermurah hati sedekahkan beras serta makanan kepada kami sekeluarga kerana mereka tahu kesusahan hidup makcik sekeluarga," katanya.
Menurutnya, walaupun mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetapi dia terpaksa berjimat kerana dua bulan sekali, dia dan Salehah perlu berjumpa doktor di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta Klinik Hiliran.
"Saya tidak mampu untuk menukar bumbung rumah ini tanpa bantuan mana-mana pihak kerana kosnya agak tinggi," katanya.
Sementara itu, Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Dun) Wakaf Mempelam, Wan Mahyudin Wan Ngah berkata, masalah Sapiah dalam perhatian pihaknya.
"Kami akan cuba selesaikan masalah ini dalam masa terdekat," katanya yang telah menziarahi keluarga berkenaan.
No comments:
Post a Comment