Ratusan pembangkang Syria bersidang di Doha
Ratusan pembangkang Syria bermesyuarat untuk menyusun semula kepimpinan di negara itu, kelmarin. Foto: Al-Jazeera
DOHA - Ratusan pemimpin pembangkang dan komander Tentera Pembebasan Syria (FSA) mengadakan mesyuarat di ibu negara Qatar dalam usaha untuk menyusun semula kepimpinan di Syria yang akan berlangsung selama lima hari bermula, kelmarin.

Semua pemimpin yang menyertai mesyuarat itu berharap mereka dapat mencari jalan penyelesaian bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama 19 bulan.

Sebelum ini, idea asal pelan peralihan kuasa politik yang dicadangkan oleh bekas Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Kofi Annan ditolak sebulat suara oleh pembangkang kerana mereka menyifatkan ia sebagai tindakan sia-sia.

Bagaimanapun, mereka akhirnya akur melaksanakan penyusunan semula kepimpinan di negara itu dengan matlamat untuk menyingkirkan rejim Presiden Bashar al-Assad.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pembangkang, Riad Seif menafikan beliau berhasrat untuk mengetuai kerajaan baru tersebut walaupun beliau disebut sebagai pemimpin paling layak memimpin kerajaan sementara, Inisiatif Kebangsaan Syria.

"Saya tidak sepatutnya menjadi calon untuk mengetuai kerajaan baru ini. Faktor kesihatan dan usia perlu diambil kira dalam hal ini," jelasnya.

Difahamkan, di bawah pelan peralihan kuasa politik itu, kepimpinan baru Syria akan turut membariskan pemimpin FSA, kumpulan politik lain dan majlis tempatan.

Selain itu, majlis tentera, jawatankuasa kehakiman dan kerajaan peralihan terdiri daripada ahli teknokrat juga dicadangkan untuk ditubuhkan di bawah kerajaan baru tersebut.

Sementara itu, keganasan dilaporkan berterusan di Syria yang menyaksikan bangunan kerajaan dan tentera terus menjadi sasaran kumpulan pemberontak pada kali ini.- Al-Jazeera