Tuesday, November 27, 2012

Polis Thailand gagal 3 cubaan seludup dadah bernilai RM30 juta

BANGKOK: Polis berkata, mereka menahan beberapa suspek dalam tiga kes dan merampas dadah bernilai 300 juta baht (RM30 juta) sejak tiga hari lalu.

Timbalan Ketua Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Mejar Jeneral Surapol Tuanthong mengumumkan tangkapan itu dalam sidang media, semalam.
Katanya, seorang lelaki yang ditahan bersama satu juta butir pil methamphetamine (syabu) merupakan seorang anggota kumpulan dadah yang beroperasi di Penjara Klong Prem.

Polis sudah lama memantau aktiviti Warawut Chai-anich, 25, dan mereka memberkas suspek selepas menerima maklumat boleh dipercayai yang dia cuba menghantar dadah dari wilayah Ratchaburi ke Bangkok.


Dalam kes kedua pula, seorang warga Iran ditahan bersama 1,300 gram cecair methamphetamine di dalam botol wain kosong. Cecair itu boleh digunakan untuk membuat dua kilogram syabu.


Penahanan Mahmood Pacchawadee, 56, adalah hasil usahasama dengan Pengurusan Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) berpangkalan di Thailand.

Thuanthong berkata, DEA menasihatkan polis untuk memantau pergerakan suspek, iaitu seorang anggota kumpulan dadah Iran.

Dalam kes ketiga pula seorang wanita Thailand, Saithan Sae Lim, 39, ditahan bersama tiga kilogram syabu ketika tiba dari luar negara di Lapangan Terbang Suvarnabhumi. - BP

No comments:

Post a Comment