SEOUL 14 Dis. - Pemimpin Korea Utara mengarahkan lebih banyak satelit dilancarkan pada masa depan, dua hari selepas Pyongyang berjaya melancarkan roket jarak jauh yang menerima kecaman masyarakat antarabangsa.
Korean Central News Agency (KCNA) melaporkan Kim Jong-un yang memantau pelancaran roket tersebut menegaskan tentang keperluan melancarkan lebih banyak satelit pada masa depan bagi membangunkan sektor sains, teknologi dan ekonomi negara itu.
Agensi berita itu melaporkan bahawa Jong-un mengeluarkan arahan bertulis terakhir pelancaran roket berkenaan awal pagi kelmarin dan memantau proses tersebut, tindakan yang mendedahkan maklumat baharu mengenai lokasi pemimpin Korea Utara itu berada pada hari tersebut.
''Dengan melancarkan satelit di orbit, Korea Utara menunjukkan kepada rakyat dan negara asing kedudukannya yang kukuh, melaksanakan hak untuk menggunakan ruang angkasa negara bagi misi keamanan,'' kata Jong-un yang dipetik oleh KCNA.
Penganalisis berkata, pelancaran roket itu menjadi simbol dan faktor motivasi utama untuk Korea Utara ketika Jong-un yang masih belum mencecah umur 30 tahun, ingin mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin negara selepas kematian ayahnya, Kim Jong-il pada Disember tahun lepas.
''Pelancaran itu merupakan satu cara memenuhi permintaan terakhir Jong-il.
''Tindakan itu membantu mengukuhkan kedudukan dan kuasa Jong-un ke atas kumpulan tentera elit Korea Utara, memperkuatkan kesetiaan dan perpaduan antara mereka,'' kata Profesor Sains Politik Universiti Korea, Yoo Ho-yeol.
Kejayaan pelancaran roket itu dilihat meningkatkan kedudukan Jong-un dan menutup kegagalan pelancaran Unha-3 pada April lalu.
Dalam pada itu, tentera laut Korea Selatan mengumpul serpihan roket Korea Utara itu yang akan dianalisis bagi menentukan kemampuan peluru berpandu yang dimiliki negara itu.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Kim Min- seok berkata, serpihan itu dijangka memberi maklumat penting dalam menentukan keupayaan roket Korea Utara.
Serpihan yang dikutip tentera laut dipercayai bahagian tangki minyak, yang tertera nama roket tersebut, "Unha-3.". - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121215/lu_03/Korea-Utara-akan-lancar-lebih-banyak-satelit#ixzz2F8U4WV2u
© Utusan Melayu (M) Bhd
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment