Sunday, January 20, 2013

15 mayat rentung




Algiers: Komando Algeria semalam menemui 15 mayat rentung di loji gas In Amenas yang diserang pemberontak dan usaha mengenal pasti identiti mayat itu sudah dilancarkan.

Mayat itu ditemui selepas tentera Algeria melancarkan operasi untuk membebaskan berpuluh-puluh pekerja asing dan tempatan yang ditahan di situ. Belum ada maklumat bagaimana mangsa maut, lapor agensi berita Mauritania, ANI yang sentiasa berhubung dengan penculik menamakan mereka sebagai ‘Briged Bertopeng’.


Kumpulan itu bersekutu dengan pergerakan Islamic Maghreb (AQIM) yang ada hubungan dengan al-Qaeda sebelum menamatkan kerjasama bulan lalu, kata pakar keganasan Perancis.


Memetik sumber tidak dinamakan, ANI menyatakan penculik berasal dari Algeria, Kanada, Mali, Mesir, Niger dan Mauritania.

Sky News melaporkan, tentera Algeria terus mengepung loji gas berkenaan dan helikopter membantu pemantauan.
Tentera Algeria cuba membebaskan tebusan kerana penculik menuntut dibenarkan membawa meraka ke Libya.

Militan al-Qaeda menguasai utara Mali tahun lalu dan ramai daripada mereka adalah dari Algeria.

Keadaan itu memaksa Perancis campur tangan.

Persoalan timbul selepas penculik itu mudah masuk ke loji berkenaan tiga hari lalu.

Loji itu menghasilkan 10 peratus gas asli yang dijual Algeria untuk mendapat hasil eksport.

Pegawai Algeria berkata, penyerang mungkin mendapat bantuan orang dalam kerana beratus-ratus pekerja adalah penduduk tempatan.

Serangan itu dirancang sejak dua bulan lalu selepas seorang anggota Briged Bertopeng itu memberitahu agenda mereka kepada ANI.

Anggota kumpulan itu berkata, mereka memilih untuk bertindak di Algeria kerana menjangka negara itu akan menyokong usaha menyokong tindakan mengusir pelampau.

AGENSI

No comments:

Post a Comment