Friday, January 4, 2013

Israel arah penduduk Badwi Palestin pindah



Beberapa penduduk Badwi Palestin bersedia untuk berpindah selepas diarahkan tentera Israel di Wadi al-Maleh, utara Lembah Jordan, Tebing Barat, kelmarin. - AFP
KHIRBET AL-MEITEH, Tebing Barat 3 Jan. - Kira-kira 500 penduduk Badwi Palestin diarahkan berpindah dari tempat tinggal mereka di Lembah Jordan semalam, bagi membolehkan tentera Israel menjalankan latihan ketenteraan.
Jurugambar AFP menyaksikan berpuluh-puluh anggota puak itu meninggalkan kediaman mereka di Wadi al-Maleh, utara Lembah Jordan, Tebing Barat.
Seorang pegawai perbandaran, Aref Daraghmeh berkata, latihan kenderaan itu sepatutnya boleh dilakukan di kawasan lain.
"Latihan itu menyebabkan kira-kira 500 penghuni termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas terpaksa berpindah,'' katanya.
Beliau berkata, 75 keluarga anggota Badwi itu menerima notis pindah dalam tempoh 24 jam pada minggu lalu.
Tentera Israel mengesahkan, pihaknya mengeluarkan arahan berpindah 24 jam dalam satu kenyataan kepada AFP.
"Ekoran latihan ketenteraan dan bagi memastikan keselamatan penduduk tempatan, arahan berpindah sementara dikeluarkan kepada penduduk tempat tinggal yang dibina secara haram di zon tentera,'' kata tentera Israel.
Puak Badwi menyatakan, mereka telah tinggal di kawasan tersebut sejak berdekad-dekad lalu dan mendakwa latihan itu merupakan satu cara untuk mengusir mereka. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130104/lu_03/Israel-arah-penduduk-Badwi-Palestin-pindah#ixzz2H0htSc00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment