BAITULMAQDIS: Biro Statistik Palestin menjangka penduduk Arab akan mengatasi masyarakat Yahudi di Israel dan wilayah Palestin menjelang akhir dekad ini.
Perkembangan itu akan mewujudkan senario yang akan memberi kesan amat buruk kepada Israel.
Biro itu berkata semalam, 5.8 juta masyarakat Arab kini menetap di Israel, Tebing Barat, Gaza dan timur Baitulmaqdis, berbanding kira-kira enam juta penduduk Yahudi, menurut data Israel.
Berdasarkan kadar kelahiran ketika ini, biro berkenaan menganggarkan jumlah populasi kedua-dua bangsa itu akan sama pada 2016. Pada 2020, penduduk Arab akan mengatasi jumlah bangsa Yahudi dengan jumlah 7.2 juta berbanding 6.9 juta.
Isu demografi itu menjadi perkara utama bagi rakyat Israel yang menyokong pembentukan sebuah negara Palestin.
Menurut mereka, langkah melepaskan penguasaan terhadap wilayah Palestin dan tanggungjawab terhadap penduduknya adalah satu-satu cara untuk memastikan masa depan Israel sebagai negara demokrasi dengan Yahudi menjadi penduduk majoriti. - AP
No comments:
Post a Comment