Thursday, January 17, 2013

Mati Dalam Lokap : Tiga jam tunggu kebenaran bedah siasat kedua

KUALA LUMPUR, 16 JAN: Setelah hampir tiga jam didesak, polis akhirnya bersetuju membenarkan  keluarga mendiang Chang Chin Te, 30, yang mati ketika dalam tahanan polis melakukan bedah siasat kedua selepas bedah siasat pertama dilakukan Isnin lalu.
Keluarga mangsa mendesak untuk melakukan bedah siasat kedua kerana mereka tidak berpuas hati dengan bedah siasat pertama yang tidak menjelaskan sebab kematian (status pending investigation).
Berikutan keengganan pihak polis membenarkan permohonan keluarga mendiang sebelum itu, kekecohan hampir tercetus kerana polis tiada sebab untuk menghalang untuk bedah siasat kedua itu dilakukan.
Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga mendiang berkata, ini menunjukkan pihak polis tidak prihatin dan komited untuk menangani kes kematian ketika dalam tahanan menyebabkan semakin ramai menjadi mangsa mati ketika dalam tahanan.
“Polis kelihatan tidak mahu bertangggungjawab. Kes ini menyebabkan rakyat boleh hilang keyakinan terhadap pihak polis.
“Tidak ada sebab polis tidak mahu membenarkan bedah siasat kedua ke atas mendiang Chang Chin Te, sedangkan kes kematian Kugan bedah siasat kedua dibenarkan dan tidak ada masalah,” katanya kepada media di hadapan pintu masuk ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, petang tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puchong berkata, ada beberapa perkara lagi yang perlu diberi penekanan dalam kes membabitkan bedah siasat kerana masalah timbul apabila pihak polis tidak memberi laporan bedah siasat kepada keluarga mangsa.
“Biasanya mereka kata akan beri tetapi tidak. Apapun, pihak keluarga mempunyai hak untuk mengetahui sebab kematian mendiang sebelum dikebumikan,” ujarnya.
Gobind berkata, sehingga kini sudah 219 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan berdasarkan statistik manakala statistik Kementerian Dalam Negeri pada 2011 pula menunjukkan 156 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan.
Namun, katanya, apabila beliau mahu berdebat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak memberi respon.
Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah juga turut kesal dengan sikap polis dan berkata, polis sepatutnya membenar bedah siasat kedua perlu serta merta.
“Kita juga hairan kenapa pihak polis menyuruh isteri mangsa memadamkan gambar mayat suaminya pada hal tidak ada dalam undang-undang untuk polis berbuat demikian. Tambahan pula Lim Wei Ni adalah balu si mati.
“Adakah pihak polis ingin menutup sesuatu yang berlaku?” soal beliau yang juga seorang peguam.
Tambahnya, kes kematian dalam tahanan polis perlu diambil serius. Dalam perkara berkaitan, beliau kemudian memberitahu media bahawa di kawasan Subang sahaja, sudah dua kematian dalam tahanan dilaporkan dalam tempoh dua bulan ini.
“Ia amat membimbangkan, saya khuatir bagaimana pula dengan realiti yang berlaku seluruh negara,” katanya.sumber

No comments:

Post a Comment