Thursday, January 17, 2013

Bank Islam sahkan Ketua Ekonomi digantung tugas



KUALA LUMPUR - Bank Islam Malaysia Bhd hari ini menegaskan yang Ketua Ekonominya, Azrul Azwar Ahmad Tajudin telah digantung tugasnya kerana ia mempunyai "asas-asas yang wajar" untuk mempercayai yang beliau telah melanggar dasar dalaman bank.

Perkara berhubung dengan pelanggaran dasar itu akan diketahui sebaik sahaja siasatan selesai, kata Bank Islam dipetik Bernama.

Sementara bank itu terus mengulangi yang pandangan politik dan komen Azrul tidak seharusnya dikaitkan dengan bank berkenaan, ia terus ingin menegaskan yang penggantungan Azrul tidak ada kaitan dengan tindakannya menyuarakan pandangan politik peribadi beliau.

Azrul yang telah bertindak sebagai penganalisis di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB), dilaporkan telah berkata dalam sebuah forum awam baru-baru ini yang "terdapat kemungkinan tinggi" Pakatan Rakyat akan menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Pada sidang media pagi tadi, Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Bank Islam menggantung tugas Azrul Azwa kerana meramalkan BN akan kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bermotifkan politik.

Mahfuz berkata, perbuatan itu jelas sekali kerana Bank Islam punya kaitan dengan Tabung Haji yang berada di bawah kawalan kerajaan.

Minggu lalu, Azrul Azwar ketika bercakap dalam satu seminar di Singapura, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU13.

Kenyataan itu kemudian dilaporkan akhbar The Straits Times Singapura pada 11 Januari lalu.

Azrul berkata, hasil kajian menggunakan data analisisnya mendapati BN hanya mampu memperoleh antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi PRU lalu.

Laman web Straitstimes.com 12 Januari lalu menyiarkan kenyataan Pengarah Urusan Bank Islam, Datuk Seri Zukri Samat bahawa bank itu tidak terbabit dalam forum berkenaan dan menyatakan pandangan Azrul  Azwa bersifat peribadi serta meminta ia tidak dikaitkan dengan bank itu.

No comments:

Post a Comment